Malaysia Dateline

Mesyuarat jawatankuasa teknikal pindaan undang-undang perburuhan ditangguh

Mesyuarat jawatankuasa teknikal berhubung pindaan ke atas undang-undang perburuhan bersama Kementerian Sumber Manusia yang sepatutnya diadakan Isnin ini ditangguhkan kepada 11 Nov depan atas beberapa faktor, kata Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran.

“Mesyuarat akan diadakan dengan semua pihak berkepentingan termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) bagi memperhalusi semua cadangan berhubung pindaan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Labour Enrichment and Professionalism (LEAP) anjuran Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) dengan usahasama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jheks Mustafa Ali.

Kula Segaran berkata Jheks juga dalam proses membuat pindaan ke atas Akta Kesatuan Sekerja 1959 (Akta 262) bagi memastikan peruntukkan undang-undang adalah mematuhi ‘International Labour Standard’ dan ‘International Labour Practice’ serta seiring dengan perkembangan semasa.

“Beberapa sesi libat urus telah diadakan bersama pihak berkepentingan bagi mendapatkan cadangan dan pandangan berkaitan pindaan akta ini,” katanya.

Beliau berkata draf cadangan pindaan Akta 262 yang memfokuskan kepada pematuhan prinsip kebebasan berpesatuan juga telah dimuatnaik ke dalam laman sesawang Kementerian Sumber Manusia untuk mendapatkan maklumbalas orang awam.

Katanya draf cadangan itu bersama maklum balas yang diterima akan dibincangkan di dalam mesyuarat berkenaan yang dianggotai oleh pihak kerajaan, pekerja dan majikan.

Draf itu telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan di Parlimen bagi mendapatkan kelulusan, katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah peratusan tenaga kerja yang menyertai kesatuan sekerja dilihat semakin berkurangan di negara ini.

“Pada satu tahap, Malaysia mempunyai 10 peratus tenaga kerja yang menyertainya namun kini hanya enam hingga tujuh peratus yang menunjukkan keahlian semakin menurun jadi kita mahu mengaktifkan kesatuan sekerja,” katanya.

— BERNAMA