Mesyuarat Khas Jemaah Menteri lusa bincang Wawasan Kemakmuran Bersama

Mesyuarat Khas Jemaah Menteri lusa bincang Wawasan Kemakmuran Bersama

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam kenyataannya hari ini memberitahu Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 14 September ini bagi membincangkan dasar jangka panjang hala tuju ekonomi negara berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah bersetuju untuk mengadakan mesyuarat tersebut yang merupakan susulan daripada pengumuman semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMKe-11) di Parlimen pada 18 Oktober tahun lalu.

“Seterusnya, kerangka asas wawasan ini telah dijelaskan oleh YAB Perdana Menteri dalam Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu Kerajaan Pakatan Harapan pada 9 Mei 2019.

“Wawasan baharu ini menunjukkan komitmen Kerajaan untuk menstruktur semula ekonomi Malaysia bagi menjamin ianya terus berkembang dengan mampan dan memberikan kesejahteraan kepada semua rakyat.

“Hasrat wawasan ini adalah agar seluruh rakyat Malaysia mengecapi taraf hidup wajar atau a decent standard of living menjelang tahun 2030,” dipetik dari kenyataan tersebut.

Kementerian itu juga menyatakan Wawasan Kemakmuran Bersama akan merangkumi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13).

“Bajet tahunan Kerajaan sepanjang RMKe-12 dan RMKe-13 akan dijajarkan kepada Wawasan Kemakmuran Bersama.

“Bajet 2020 yang bakal dibentangkan pada bulan Oktober kelak merupakan satu belanjawan persiapan supaya semua pihak dapat bersedia untuk meluru maju apabila inisiatif RMKe-12 dimulakan pada tahun 2021.

“Kerajaan yakin Wawasan Kemakmuran Bersama merupakan harapan dan agenda baharu untuk masa hadapan Malaysia dan menjadi asas kepada penyatuan negara,” jelas kementerian diterajui Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu lagi.