Malaysia Dateline

Mesyuarat Khas: KSN mohon maaf atas kekhilafan MB dan KM lima negeri tidak dijemput

Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali memohon maaf atas kekhilafan yang timbul berkaitan dengan jemputan bagi menghadiri Mesyuarat Khas bagi menyelaraskan Perintah Kawalan Pergerakan antara negeri yang diadakan hari ini.

Kata beliau, merujuk kepada Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri pada 17 Mac 2020, YAB Perdana Menteri telah mengarahkan agar semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dijemput hadir tanpa ada sebarang pengecualian.

“Sehubungan itu, saya bagi pihak urusetia mesyuarat ingin memohon maaf atas kekhilafan yang timbul berkaitan dengan jemputan yang hanya dikeluarkan kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri Kerajaan Negeri dari Parti Komponen Kerajaan Persekutuan.

“Bagi Negeri Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah, hanya Pengarah Pembangunan Negeri yang dijemput hadir,” kata beliau.

Beliau menegaskan bahawa Perdana Menteri memandang serius tentang perkara ini dan menyatakan pendirian jelas beliau untuk bekerjasama dengan semua Kerajaan Negeri tanpa mengambil kira apa jua latar belakang parti politik khususnya berkaitan perkara yang menjadi kepentingan utama negara seperti wabak Coronavirus (COVID-19).

“Dimaklumkan YAB Perdana Menteri telah mengeluarkan arahan supaya semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dijemput hadir mesyuarat khas bagi menangani penularan COVID-19 pada masa akan datang,” kata beliau.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan petang tadi, kesal atas tindakan Putrajaya yang tidak menjemput menteri besar dan ketua menteri lima negeri iaitu Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sabah bagi menghadiri Mesyuarat Khas bagi menyelaraskan Perintah Kawalan Pergerakan antara negeri yang diadakan hari ini.

Jelas kenyataan itu lagi, tindakan kawalan Covid-19 yang tidak mengambil kira sebahagian wilayah dalam negara pasti akan menggagalkan usaha pengawalan itu.