Malaysia Dateline

Mesyuarat khas MKT Umno jam 8 malam ini

Mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno akan diadakan jam 8 malam ini dipercayai bagi memperinci persiapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan memuktamadkan bentuk kerjasama dengan Pas.

Lapor BH, surat panggilan mesyuarat itu dikeluarkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan bertarikh 7 Oktober.

Difahamkan, mesyuarat dipengerusikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu juga dijangka menyentuh jangkaan tarikh pembubaran Parlimen yang akan diumumkan Perdana Menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno sehingga kini masih berteka-teki mengenai bila pengumuman pembubaran Parlimen akan dibuat.

Umno tawar hati dengan sikap Pas yang masih bekerjasama dengan Bersatu.

Sebelum ini, Ahmad Zahid mendesak Pas memutuskan hubungan bersama Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu jika memilih Barisan Nasional (BN) sebagai rakan sekutu pada PRU15.

Walau bagaimanapun, Pas mahu meneruskan usaha “penyatuan ummah”, membabitkan ketiga-tiga parti teras Melayu, termasuk Umno dan Bersatu.

Pada 14 September lalu, media melaporkan beberapa ketua Umno bahagian mendesak MKT menutup pintu rundingan dengan Pas berkaitan hala tuju 27 kerusi Parlimen ‘kritikal’ untuk menghadapi PRU15.

Antaranya ialah Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohamad dan Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman.

Mereka berpendapat, MKT perlu akur dengan kehendak ahli akar umbi, yang memutuskan supaya tiada kerjasama dengan Pas dan tiada kewajaran lagi untuk rundingan kerusi PRU diadakan.

Sementara itu, Pas berharap masih ada ruang berunding dengan Umno melalui platform Muafakat Nasional (MN) bagi memastikan tiada pertembungan di 27 kerusi ‘kritikal’ Parlimen, antara BN dan PN, yang akan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

Namun, bagi Pas – sebagai parti komponen PN dan Umno, yang menjadi tunjang BN – rundingan perlu dibuat untuk mengelak pertembungan tiga penjuru pada PRU15, terutama di kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Pemimpin Umno sudah lama sebenarnya curiga dengan tindakan Pas yang bermain di dua kolam sebelum ini membabitkan kerjasama dengan Bersatu.

Baca juga Mahu kekal pengaruh dalam kalangan pengikut ta’asub – Perangai Abu Jahal ini jugalah yang diamal

Baca juga Ramai sebak tengok usaha ayah ini nak gembirakan anaknya