Malaysia Dateline

Mesyuarat khas Ahli Parlimen AMANAH malam ini

Satu mesyuarat khas melibatkan Ahli Parlimen AMANAH difahamkan akan berlangsung selepas selesai Konvensyen Alumni Aktivis Siswazah AMANAH IPTA/IPTS Kali Pertama malam ini.

Program konvensyen yang disebarkan sejak minggu lalu itu berlangsung di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi bermula jam 7 malam tadi dan dijangka berakhir jam 11 malam ini.

Beberapa pimpinan AMANAH Nasional hadir iaitu Timbalan Penasihat Umum, Datuk Ustaz Abdul Ghani Samsudin; Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar dan Bendahari Agung, Adly Zahari merangkap Ketua Menteri Melaka.

Turut hadir Setiausaha Organisasi, Abang Ahmad Kerdee; Pengarah Pembangunan Sumber Manusia, Suhaizan Kayat serta Pengerusi AMANAH Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah merangkap Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Walau bagaimanapun, difahamkan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, pimpinan utama Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) dan Pemuda AMANAH Nasional tidak hadir dalam konvensyen julung kali diadakan itu.

Untuk rekod, AMANAH pada masa ini mempunyai 11 Ahli Parlimen, lima Menteri Persekutuan, Timbalan Menteri Persekutuan (5), Ketua Menteri (1), Senator (3) dan 51 Ahli Dewan Undangan Negeri.

Dari kiri: Raja Kamarul Bahrin, Abang Ahmad Kerdee, Mahfuz, Ustaz Abdul Ghani, Adly dan Suhaizan.