Malaysia Dateline

Mesyuarat Majlis Presiden PH petang ini batal

Sepatutnya, petang ini mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan berlangsung di bangunan Parlimen.

Walau bagaimanapun, mesyuarat melibatkan PKR, AMANAH dan DAP itu telah dibatalkan tanpa ada tarikh baru ditetapkan, lapor Malaysiakini.

Pagi tadi, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan bersama mengingatkan agar PH tidak berharap kepada Ahli Parlimen dalam kerajaan untuk mengembalikan mandat yang mereka perolehi.

Kenyataan dua parti komponen PH itu susulan kegagalan pembangkang menyekat Belanjawan 2021 pada bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat semalam.

Pada 23 September lalu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Namun, Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Port Dickson itu enggan mendedahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Pada 13 Oktober pula, Anwar Ibrahim mengesahkan mempersembahkan dokumen sahih berhubung sokongan kukuh dan meyakinkan Ahli Parlimen terhadapnya.

Dakwanya, beliau mempunyai sokongan lebih 120 Ahli Parlimen.