Malaysia Dateline

Mesyuarat selesai, pegawai kanan kerajaan tinggalkan Istana

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu yang dijadualkan berlangsung kira-kira jam 2.30 petang tadi belum dipastikan sama ada ianya masih berjalan atau sudah berakhir.

Namun, Panglima Angkatan Bersenjata, Ketua Setiausaha Kerajaan dan Ketua Polis Negara semuanya telah meninggalkan Istana antara jam 5.57 petang dan 5.59 petang, lapor Thevibers.

Dimaklumkan juga Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah meninggalkan Istana Negara pada pukul 5.15 petang setelah menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja Khas itu.

Menurut polis, Sultan Ibrahim dikatakan keluar lebih awal kerana menguruskan hal-hal peribadi.

Sultan Ibrahim adalah antara yang pertama tiba, memasuki kompleks istana pada pukul 12.02 tengah hari.

Mesyuarat peringkat tinggi, yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, adalah untuk membincangkan, antara lain, keadaan darurat, dan krisis ekonomi COVID-19.

Beberapa pegawai tinggi kerajaan juga dipanggil untuk menghadap raja hari ini, untuk memberikan maklumat terkini mengenai hal-hal termasuk kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi.