Malaysia Dateline

MET tidak jangkakan negara berdepan cuaca buruk luar biasa bagi tempoh seminggu ini

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak menjangkakan negara berdepan cuaca buruk luar biasa bagi tempoh seminggu ini.

Penafian MET itu susulan tersebarnya rakaman video tular di media sosial, yang menyatakan negara akan berdepan cuaca buruk luar biasa, hujung bulan ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata, melalui pemantauan terkini, keadaan cuaca di negara ini sedang dipengaruhi oleh penumpuan angin di Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah sehingga hujung bulan bulan berpotensi menyebabkan keadaan cuaca lembap di kebanyakan negeri.

Sehubungan itu, MetMalaysia semalam, sudah mengeluarkan Ramalan Cuaca Signifikan.

Bagaimanapun, pada masa sama, dipetik kenyataan itu hari ini, satu sistem tekanan rendah terbentuk di timur Filipina dan dijangka bergerak ke arah barat dan barat laut menjauhi rantau negara.

Menurutnya, kewujudan sistem tekanan rendah itu memberi sedikit kesan terhadap keadaan laut.

“Oleh itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dikeluarkan pada 12.30 tengah hari ini, membabitkan kawasan perairan Condore, Reef North dan Layang-Layang dalam tempoh dari Khamis (27 Oktober) hingga Ahad (30 Oktober).

“Kelajuan angin antara 40 hingga 50 kilometer per jam (km/jam) dan ketinggian ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di kawasan ini,” katanya.

Muhammad Helmi berkata, MetMalaysia akan terus memantau dan memaklumkan perubahan cuaca signifikan dari semasa ke semasa.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat sahih berkenaan ramalan dan amaran cuaca boleh melalui laman web MET Malaysia iaitu www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi serta Hotline di talian 1-300-22-1638.

Jelasnya, sebarang penyebaran maklumat berita palsu dan tidak sahih boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Baca juga Sembilan negeri ekonomi tertinggal – Ini pesan pakar buat mereka yang bakal membentuk kerajaan

Baca juga TMJ nasihatkan Bangsa Johor untuk jaga tingkah laku