Malaysia Dateline

MetMalaysia keluarkan amaran ribut petir, angin kencang, laut bergelora

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori dua di beberapa buah negeri hari ini.

Amaran yang dikeluarkan pada jam 9.05 pagi tadi termasuklah amaran ribut petir yang akan berlaku sehingga jam 12 tengahari.

Menurut MetMalaysia, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda kawasan perairan Johor, Pahang, Sarawak dan Sabah Timur.

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama yang berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan dijangka melanda kawasan perairan Tioman

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” maklum kenyataan itu.

Sementara itu hujan berterusan peringkat waspada turut dikeluarkan yang dijangka akan melanda negeri Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin), serta Johor (Mersing dan Kota Tinggi) sehingga esok, 10 Februari.