Malaysia Dateline

Mewajibkan vaksin ke atas guru, perlu keputusan kabinet

Keengganan 2,500 guru untuk tidak divaksin sepertimana yang dilaporkan baru-baru ini tidak harus dipandang enteng kerana mereka dilaporkan tidak dibenarkan untuk mengajar secara bersemuka.

Sehubungan itu kerajaan harus mengambil pendirian terlebih dahulu apakah pengambilan vaksin ini diwajibkan atau secara sukarela.

Pengarah Komunikas AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria berkata, seandainya kerajaan mewajibkan vaksin ini diambil maka tindakan wajar diambil sekiranya enggan. Namun begitu sekiranya ia adalah secara sukarela, maka tindakan adalah tidak wajar diambil.

“Dalam lain ertikata, sekiranya kementerian-kementerian menyekat aktiviti atau pergerakan kakitangan mereka kerana tidak divaksin, maka sebetulnya ia memperlihatkan seolah-olah kementerian telah mewajibkannya.

” Sepertimana dilaporkan media baru-baru ini, tentera dipecat kerana enggan divaksin, begitu juga dengan guru-guru yang dinyatakan tidak akan dibenarkan mengajar secara bersemuka serta terkini restoran pun menyekat pelanggan mereka yang tidak divaksin.

” Jalan terbaik adalah bagi jemaah menteri dan kabinet mengambil keputusan yang lebih jelas apakah vaksin itu wajib atau secara sukarela tanpa perlu membiarkan Kementerian Kesihatan berbincang dengan Kementerian Pendidikan mengenai keputusan keatas para pendidik dan guru-guru serta juga lain-lain kementerian, ” ujar beliau yang juga merupakan pengamal perubatan di Pulau Pinang.