MFL jamin 23 pemegang taruh akan terima geran tahunan

MFL jamin 23 pemegang taruh akan terima geran tahunan

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberi jaminan kepada 23 pemegang taruh bahawa geran tahunan bagi musim 2019 kekal terjamin walaupun masih di peringkat perbincangan untuk mengumumkan penaja baharu Liga Malaysia (Liga-M).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Kevin Ramalingam berkata, beliau kesal apabila ada segelintir pihak cuba mensensasikan kelewatan penyerahan geran tahunan menjadi faktor terbesar masalah kewangan pasukan bertanding pada musim ini.

“Nilai geran tahunan yang diagihkan kepada pasukan Liga Super dan Liga Premier hanyalah 15 sehingga 20 peratus sahaja berbanding jumlah keseluruhan perbelanjaan operasi pasukan.

“Kalau boleh saya nak bagi (geran tahunan kepada pasukan) semalam tetapi realiti situasi sekarang adalah kami sedang berbincang dengan penaja baharu sebelum kami terima dana kewangan,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau menganggap tindakan menuding jari kepada MFL, selaku pengendali Liga-M, berhubung kelewatan memberi geran tahunan adalah tidak wajar, sebaliknya pasukan bertanding seharusnya tidak menghadapi masalah kewangan di awal musim.

Katanya, di awal musim, pasukan tidak sepatutnya bergelut dengan masalah kewangan disebabkan kelewatan geran daripada MFL kerana mereka seharusnya mempunyai 75-80 peratus dana kewangan untuk menguruskan pasukan buat masa ini.

“Apa jadi dengan (baki perbelanjaan mereka) selebih itu? Namun demikian MFL tidak memandang ringan mengenai geran tahunan ini dan kita akan usahakan untuk setiap pasukan.

“Jika mereka masih belum menerima geran tahunan sehingga penghujung tahun, saya boleh faham situasi itu tetapi jangan timbulkan isu masalah kewangan pada awal musim,” katanya.

Untuk rekod, pada 15 Mac lepas, MFL secara rasmi telah mengumumkan penamatan kontrak penajaan bersama Telekom Malaysia (TM) yang ditandatangani untuk tempoh lapan tahun pada Januari tahun lepas selepas mencapai kata sepakat dalam satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah yang diadakan di Hotel Thistle, Johor Bahru.

Dalam perkembangan lain, Kevin mendedahkan MFL dalam proses perbincangan dengan beberapa pihak berhubung kemasukan penaja baharu yang menunjukkan minat tinggi menaja Liga-M.- BERNAMA