M&G kembali raih keuntungan

M&G kembali raih keuntungan

Syarikat logistik marin,  Marine & General Bhd (M&G) kembali meraih keuntungan dengan mencatatkan keuntungan bersih RM148,000 pada suku berakhir 31 Dis, 2018 berbanding kerugian bersih RM154.7 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Hasil meningkat kepada RM51.3 juta, meningkat 32.8 peratus tahun ke tahun daripada RM38.6 juta dicatatkan sebelumnya, selaras dengan peningkatan aktiviti sewa bagi bahagian huluannya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini,  M&G berkata kumpulan mencatatkan kerugian  sebelum cukai sebanyak RM400,000, peningkatan ketara daripada kerugian RM231.1 juta sebelumnya.

Prestasi baik itu disebabkan oleh langkah pelarasan penyusutan sekali sahaja kapal dianggarkan RM9.0 juta untuk mencerminkan perbezaan nilai kapal pada akhir hayat ekonominya dan rosot nilai kapal yang mungkin tidak akan berlaku lagi sebanyak RM202 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Dalam kenyataan berasingan, Pengerusi Eksekutif Datuk Mohammed Azlan Hashim berkata peningkatan ketara permintaan terhadap kapal pukal muatan cecair pada 2018, seperti dibuktikan oleh kadar 91.9 peratus penggunaan bagi kumpulan kapal itu pada tahun itu, dan dengan tambahan tiga kapal lagi, dijangka bakal menyumbang secara positif kepada bahagian huluannya di masa depan.

Beliau berkata prestasi pada 2018 menunjukkan keputusan untuk perluaskan segmen huluannya telah mula membuahkan hasil positif.

“Kumpulan berpendapat wujud peluang pertumbuhan lebih baik dalam segmen itu dan akan sentiasa menilai peluang-peluang untuk menambah pelaburan di masa depan.

“Ini, bagaimanpun, akan hanya dilaksanakan selepas membuat penilaian terperinci terhadap prospek pulangan jangka panjang dan sumber yang ada,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammed Azlan berkata kumpulan akan terus menumpukan terhadap usaha menyelaraskan operasi bahagian huluan dan hiliran untuk memastikan ia kekal berdaya saing.

“Pihak lembaga sedar akan cabarannya, tetapi tetap yakin dengan prospek jangka sederhana dan jangka panjang operasi kedua-dua bahagian itu,” katanya.- BERNAMA