MH370 terhempas bukan angkara pemandu, kata penyiasat Australia

MH370 terhempas bukan angkara pemandu, kata penyiasat Australia

Penyiasat-penyiasat Australia menolak dakwaan bahawa pesawat Malaysia Airlines MH370 terhempas disebabkan perbuatan sengaja pemandunya.

Spekulasi terbaru mengatakan bahawa pesawat berkenaan menjadi subjek “dimusnahkan secara dikawal” ditolak oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) Khamis lalu, menurut laporan BBC News.

Biro berkenaan masih mempertahankan hujah bahawa pemandu pesawat berkenaan tidak sedarkan diri pada saat-saat terakhir.

Pesawat berkenaan hilang dalam 2014 sewaktu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 orang penumpang beserta kakitangan.

Pencarian rasmi bangkai MH370, turut melibatkan Malaysia dan China, dihentikan Januari tahun lepas selepas 1,046 hari.

Penyiasat-penyiasat ATSB berkata, pesawat berkenaan berada dalam keadaan luar kawalan sewaktu menjunam ke bahagian selatan Lautan Hindi.

Tetapi satu teori yang mengatakan bahawa pemandu pesawat berada dalam kawalan penuh pada waktu ia terhempas baru-baru ini dikaji semula dalam sebuah buku terbaharu oleh bekas penyiasat pesawat terhempas Kanada, Larry Vance.

Vance yang muncul dalam rancangan TV, Australia 60 Minutes awal bulan ini berkata dalam bukunya bahawa siasatan ATSB tidak boleh diterima dan kesimpulan mengenai keadaan pesawat pada saat-akhir adalah tidak benar.

“Beliau (pemandu) membunuh diri tetapi malangnya beliau turut membunuh orang lain yang ada dalam pesawat berkenaan secara sengaja,” kata Vance dalam rancangan TV itu.

Bagaimanapun pengarah pencarian ATSB, Peter Foley, Selasa lalu mempertahankan penemuan biro berkenaan dan menekankan bahawa penyiasat-penyiasat telah mengkaji secara mendalam nasihat dan juga analisis yang diberikan.

“Kami menganggap setiap bahan bukti yang kami perolehi pada waktu itu berada dalam keadaan yang tidak bias,” kata Foley memberitahu sidang parlimen di Canberra seraya menambah bahawa beliau membaca buku Vance.

CATEGORIES