Nama pelakon remaja Mia Sara Nasuha sohor di Twitter dengan melebihi 8,000 ciapan setakat jam 3.30 petang tadi.
Mia, 17, menjadi buah mulut orang ramai selepas meminta warganet jangan menyalahkan Puteri Balqis Azizi, 15, kerana tidak semua orang dibesarkan dengan keluarga yang beragama.
“Dia (Balqis) tidak dididik dengan gaya hidup Islamik sejak kecil, nak tegur silakan tapi usah letakkan kesalahan di bahunya,” tulis Mia.
Pendapat terbuka Mia di TikTok miliknya itu seterusnya dilihat mengundang salah faham sehingga Balqis tampil bersuara di Instagram (IG).
Pemenang Pelakon Wanita Terbaik (Drama) pada Anugerah Televisyen Asia 2014 tersebut menegaskan komentar Mia itu membuatkan ramai warganet bercakap tentangnya dan pada masa sama telah menyakiti jiwanya.
“Saya baru tahu tentang ini (Mia Sara). Mengapa selebriti ‘budak-budak’ ini menulis buruk tentang saya dan kehidupan saya dalam TikTok serta meninggalkan komen secara umum? How angelic of you (baiknya diri anda).
“Saya disumpah seranah oleh beribu orang selepas dia meninggalkan komen tentang diri saya. Sejujurnya, apa yang ditulisnya sangat melukakan hati saya,” luah Balqis.
Malah, Balqis mengakui turut kecewa dengan tindakan Mia kerana melibatkan ibunya, Norashikin Mohd. Aziz.
Balqis yang pernah menjual buku puisi berbahasa Inggeris hasil nukilannya sendiri ketika menanggung penyakit misteri berkata, dia dididik supaya tidak bercakap buruk tentang orang lain atau memaki orang lain.
Balqis juga sempat mengingatkan bahawa memakai tudung bukan tiket untuk bercakap buruk tentang orang lain.
“Pakai hijab tidak memberi tiket percuma untuk bercakap buruk tentang orang lain. Agama tidak memberi tiket percuma untuk ‘seksa’ orang lain.
“Melalui lafaz lidah yang dizahirkan, manusia berbahagia. Melalui lafaz perbuatan yang dizahirkan, manusia menderita,” tambah Balqis lagi.