Malaysia Dateline

MIC anggap soalan peperiksaan tentang Zakir Naik tidak hormat sensitiviti kaum

Sivarraajh Chandran

Soalan dalam kertas Peperiksaan Kursus Hubungan Etnik (UUW 235) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini mendapat kritikan pemimpin MIC apabila dianggap tidak menghormati sensitiviti kaum.

Naib Presiden MIC, Sivarraajh Chandran berkata, pihak pentadbiran UniMAP perlu segera tampil memberi pengesahan dan penjelasan terhadap hal tersebut.

“Saya kurang faham kenapa soalan-soalan yang tidak menghormati sensitiviti kaum dikeluarkan sebagai soalan dalam peperiksaan subjek yang patut bantu meningkatkan pemahaman pelajar terhadap pelbagai kaum dan agama berbeza.

“Harap pentadbiran UniMAP akan segera tampil memberi pengesahan dan penjelasan terhadap perkara ini,” tegas Sivarraajh di Facebook.

Dia turut berkongsikan soalan objektif nombor 60 itu yang berbunyi:

“Zakir Naik merupakan salah satu ikon dalam dunia Islam, beliau banyak berjasa dalam menyebarkan Islam yang sebenar dan mengikuti al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Beliau mampu berhujah dan manjawab setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya dengan baik. Namun begitu di Malaysia, beliau tidak lagi dibenarkan untuk menyampaikan dakwah. Pada pendapat anda sebagai rakyat Malaysia, mengapakah hal ini boleh berlaku?”

Terdapat empat pilihan jawapan diberi iaitu:
I) Rakyat Malaysia yang malas mengambil tahu,
II) Rakyat Malaysia yang mudah terancam tanpa usul periksa,
III) Rakyat yang bersifat menuruti sahaja tanpa usul periksa,
IV) Rakyat Malaysia yang bodoh tentang agama masing-masing.

Kertas yang bertanda bulat dengan memilih I, II dan III itu juga tertera tulisan dengan pensel berbunyi, “soalan bodoh”.

Pendakwah bebas, Dr Zakir Naik sebelum ini dikatakan memberikan kenyataan kontroversi terhadap kaum Cina di Malaysia sebagai reaksi balas kepada pihak yang mengarahkannya supaya keluar dari Malaysia.

Beliau menerusi satu rakaman video kemudiannya memohon maaf ekoran hal tersebut dan menafikan tuduhan kononnya seorang yang rasis dengan mendakwa kenyataannya sebelum ini sengaja ditokok tambah bagi mencetuskan kontroversi.

Pada 19 Ogos lalu, Zakir yang berasal dari India memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman selama hampir 10 jam.

Itu kali kedua pemegang status penduduk tetap (PR) tersebut memberikan keterangan berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman di Kota Bharu, Kelantan pada 9 Ogos lalu.

Zakir mendakwa masyarakat Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri di India berbanding Dr Mahathir.

Beliau juga didakwa meminta ‘tetamu lama’ yang ditujukan kepada masyarakat Cina di Malaysia, untuk pulang terlebih dahulu bagi menjawab desakan yang mahukannya keluar dari Malaysia.

Kali pertama individu yang dilindungi daripada kerajaan India itu memberi keterangan ialah pada jam 3.30 petang sehingga 7 malam, pada 16 Ogos lalu.