Malaysia Dateline

MIC cadang pelantikan ahli majlis PBT ambil kira nisbah kaum

Datuk T.Murugiah

Dalam memberi keadilan kepada semua, pelantikan Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh dibuat mengikut kira nisbah kaum di sesuatu kawasan sebagai alternatif kepada cadangan mengadakan pilihan raya PBT.

Naib Presiden MIC Datuk T Murugiah berkata ia adalah penyelesaian terbaik berikutan kebimbangan yang disuarakan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang pilihan raya PBT akan menyebabkan sesuatu bandar dikuasai kaum tertentu sahaja.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kecaman yang diterima Abdul Hadi terhadap kenyataannya itu dalam satu sesi dialog di London pada Selasa dengan ada hadirin dialog itu mengecamnya sebagai rasis.

“Mungkin jika pilihan raya ini dilihat hanya akan dikuasai oleh kaum majoriti tertentu mungkin ada baiknya kita membuat lantikan mengikut ratio (nisbah) dan adil bagi semua kaum. Itu jauh lebih baik daripada terus berbalah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin sebelum ini dilaporkan berkata kajian mengenai pelaksanaan pilihan raya PBT dilakukan dengan mengambil contoh pelaksanaannya di negara-negara lain dengan mengikut acuan tempatan sekali gus mengambil kira sentimen dan sensitiviti rakyat.

Pada Julai lepas, Zuraida dilaporkan berkata kementerian berhasrat mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan dalam masa tiga tahun dan pilihan raya itu hanya dapat dilakukan setelah “keadaan kewangan dan ekonomi negara stabil”.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini pula dilaporkan berkata ia tidak mungkin berlaku dan ia akan mewujudkan konflik perkauman dan perpecahan di bandar dan luar bandar.