MIC gagal jadikan MIB dasar untuk bantu kaum India Malaysia, kata MP PKR

MIC gagal jadikan MIB dasar untuk bantu kaum India Malaysia, kata MP PKR

Ahli Parlimen Kapar G. Manivanan mendesak BN melalui kepimpinan MIC membahaskan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (Malaysian Indian Blueprint-MIB) di dewan rakyat.

Beliau berkata, MIC selama ini memperkotak katikkan MIB kerana masih gagal menjadikan dokumen pelan tindakan itu sebagai satu dasar untuk memperjuangkan kepentingan masyarakat India di negara ini.

“Mengapa MIC masih tidak bawa MIB dalam parlimen sebagai dasar untuk kaum India di negara ini?

“Jika dulu kita ada DEB (Dasar Ekonomi Baru) untuk orang Melayu. Kenapa MIB tidak di bawa ke parlimen untuk dibahaskan dijadikan sebagai satu dasar untuk masyarakat India?.

“Saya rasa jika apa yang dilakukan BN itu baik untuk masyarakat India, saya pasti ahli parlimen Melayu dan Cina di dewan rakyat akan sokong perkara yang baik dibawa BN.

“Tetapi MIB ini hanya sebagai buku dan kertas yang tidak boleh dipercayai,” ujarnya ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya bagi Parlimen Sepang di Dewan Orang Ramai Dengkel malam tadi.

Datuk Seri Mohd Najib  Razak bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kesihatan merangkap Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam  pada gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan (Blueprint) Masyarakat India Malaysia  di PWTC pada 23 April 2017.

Ketika ditemui Malaysia Dateline untuk mendapatkan ulasan lanjut mengenai MIB, ahli parlimen dari PKR ini berkata, di bawah manifesto PH telah menyenaraikan 25 tumpuan khusus mengenai masyarakat India di negara ini.

“Jika Pakatan Harapan memerintah kita sudah ada 25 manifesto khusus untuk masyarakat India.

“Kita pasti akan laksanakan jika Pakatan Harapan menang mengantikan kerajaan BN nanti.

“Antara lima yang terpenting akan kita laksanakan nanti seperti 10 peratus peluang pekerjaan kepada belia India, melahirkan lebih ramai usahawan, bantuan pengajian di IPTA, menubuhkan sekolah tamil dan meningkatkan ekuiti masyarakat India, ” terangnya.

Justeru beliau kesal kerana MIB yang dibawa oleh pemimpin MIC untuk masyarakat India sehingga kini gagal dibentangkan.

Bagi beliau MIB ini tidak akan dilaksanakan oleh kerajaan BN sekalipun jika BN menang Pilihan Raya Umum ke-14.

‘Saya sudah tiga kali bawa isu MIB ini di setiap penggal parlimen berlansung tetapi pimpinan kerajaan BN memberikan banyak alasan dan tidak menjawab soalan yang saya tujukan kepada kerajaan.

“Macam mana masyarakat india tidak tertindas yang bacul dan penakut untuk berdepan dengan pemimpin PH,” ujarnya.

MIB adalah pelan transformasi strategik kerajaan BN untuk komuniti India bagi tempoh 10 tahun akan datang yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak pada 2017.

MIB menggariskan dasar kerajaan ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti India menerusi suntikan dana dan modal dalam sektor pendidikan serta ekonomi.

CATEGORIES
TAGS