Malaysia Dateline

MCA-MIC keluar BN tidak gugat Umno, sertai PH

Pakar geostrategis di Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan berpandangan sekiranya MCA dan MIC bertindak keluar Barisan Nasional (BN) situasi itu tidak akan menggugat keutuhan parti Umno.

“Keutuhan Umno tidak tergugat kerana parti itu kini lebih cenderung kepada Pas berbanding MCA dan MIC.

“Pada ketika ini Umno tidak terlalu bergantung kepada sokongan pengundi daripada MCA atau MIC,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Ditanya kemungkinan MCA dan MIC berhasrat mengwujudkan pakatan baharu dengan keluar daripada BN, Azmi berpendapat, berdasarkan senario politik semasa, adalah lebih baik MIC atau MCA menyertai Pakatan Harapan (PH).

“Ini kerana ideologi dan prinsip PH dilihat lebih sesuai untuk mereka (MCA dan MIC).

“Jika MCA dan MIC mahu menubuhkan pakatan baharu di luar PH atau BN, saya berpendapat, dari segi politik, mereka sukar untuk maju ke hadapan.

“Apa yang boleh saya katakan, langkah terbaik mereka sama ada kekal dalam BN atau keluar daripada BN dan menyertai PH, tetapi persoalannya bagaimanakah penerimaan PH itu sendiri terhadap MCA dan MIC?” soalnya.

Pada Isnin Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaranbn memberi amaran mungkin tidak akan bersama Barisan Nasional (BN) dan akan meninjau pakatan baru.

Ini susulan kenyataan berbaur perkauman yang diucapkan Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamaed Nazri Aziz dan selain MCA dan MIC tidak pernah mengiktiraf Nazri sebagai setiausaha Agung BN.

Jumaat ini Majlis Tertinggi BN akan bermesyuarat untuk menentukan nasib dan masa depan parti komponen BN itu dan isu membabitkan Nazri.