MIC, Pas beri kerusi pada Umno tanding Anwar di Port Dickson

MIC, Pas beri kerusi pada Umno tanding Anwar di Port Dickson

MIC hari ini mengumumkan tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Port Dickson yang bakal berlangsung nanti.

Pengumuman itu dibuat presidennya Tan Sri SA Vigneswaran walaupun kawasan parlimen itu merupakan kerusi tradisi mereka, lapor Bernama.

Kali terakhir MIC menang di kerusi itu, yang dikenali Teluk Kemang, pada 2004 melalui calonnya Datuk S Sothinathan dengan majoriti 17,777 undi.

Semalam penyandangnya Datuk Danayal Balagopal Abdullah mengumumkan mengosongkan kerusi itu semalam bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen.

Dalam pilihan raya umum lalu, PKR menang dengan majoriti 17,710 undi, mengalahkan calon MIC VS Mogan dan calon Pas Mahfuz Roslan.

Sementara itu, Pas pula memberi laluan kepada Umno bertanding dalam pilihan raya berkenaan, kata ketua Dewan Ulama Datuk Mahfodz Mohamed.

“Kita juga berikan sokongan kepada Umno sebagaimana sokongan diberikan kepada kita dalam PRK Seri Setia yang lalu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulamak Pas ke-57, di Kota Bahru, hari ini.

Pemimpin Umno yang disebut-sebut layak menentang Anwar ialah bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Selain Mohamad, wakil rakyat Rantau, wakil rakyat Linggi Datuk Abdul Rahman Mohd Reza juga dikatakan layak bertanding kerusi parlimen itu.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS