Malaysia Dateline

MIC perlu pertimbang keluar PN sertai PH

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dicadangkan untuk mempertimbangkan menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH) selepas pergeseran dan cabar mencabar terus berlaku antara parti itu dengan rakan sekutunya dari Pas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Wahab (gambar) berkata, nampaknya MIC baru sedar dengan sikap Pas yang hanya memperjuangkan kelompok bangsa sendiri tanpa memahami kepentingan kaum lain yang bukan beragama Islam.

Menurutnya, sudah sampai masanya untuk MIC keluar dari gabungan Perikatan Nasional (PN) yang tidak menghormati kaum lain dalam perjuangan politik mereka, apatah lagi apabila Umno sendiri pun tidak mempertahankan MIC dalam isu tersebut.

“Saya mengajak MIC supaya sama-sama keluar dari PN dan menyertai gabungan PH kerana jelas PH mengutamakan semua kaum tak kira agama dan bangsa.

“Kalau Vigneswaran dah sedar sikap Pas yang tidak menghormati bangsa lain dalam perjuangan politik, sudah sampai masanya MIC keluar dari PN dan Barisan Nasional (BN).

“Dalam isu ini, Umno juga dilihat berkawan dengan Pas dan tidak menegur parti itu. Kerana itulah saya rasa sudah smpai masanya MIC mengkaji semula penyertaan mereka di dalam BN dan PN,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Pertelingkahan antara Pas dan MIC berterusan selepas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau ‘malas layan’ amaran Vigneswaran yang tidak mahu menyokongnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Beliau turut mendakwa, kebanyakan ahli MIC menyokong PH pada PRU-14 dan menyatakan bahawa MIC hanya tinggal satu kerusi saja dan dilihat lebih memerlukan undi daripada pengundi bukan India.

Vigneswaran kemudian dalam kenyataan terbarunya mencabar Muhammad Sanusi untuk bertanding di kerusi campuran pada PRU akan datang

Beliau berkata, sikap angkuh Muhammad Sanusi merupakan antara punca ramai orang meninggalkan Pas dan membentuk AMANAH.

Sementara itu kata Mohd Sofi yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka, masa depan MIC akan lebih cerah sekiranya berganding dengan PH kerana parti didominasi India itu sudah sering dibuli dan tidak mendapat banyak tempat untuk bertanding dalam pilihanraya.

“Berapa kerusi sahaja MIC dibenarkan bertanding. Itu pun di kerusi yang dilihat tidak mempunyai peluang kerana MIC akan bertanding di kerusi campuran yang biasanya akan dimenangi PH.

“Kalau mereka bersama PH, sudah tentu mereka akan diberikan kerusi campuran ini dan saya yakin PH boleh berbincang, beri kerusi pada MIC atas semangat perjuangan yang tak mengenal bangsa,” katanya lagi.