Malaysia Dateline

MIC tidak jadi sertai PN

Parti MIC tidak jadi menyertai Perikatan Nasional (PN) walaupun mulanya bersetuju dengan tanggapan Umno dan BN akan turut sama.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung MIC, Datuk M Asojan Muniandy, berkata keputusan MIC sebelum ini tidak terpakai apabila akhir bulan lalu Umno dikatakan tidak akan menyertai pakatan itu.

Pendirian terbaharu MIC itu disampaikan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dalam sepucuk surat bertarikh 24 Ogos lalu.

“Namun, seperti Umno dan BN, MIC juga akan terus menyokong kepemimpinan kerajaan sedia ada,” dipetik Bernama.

Dalam masa sama, surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia itu menjadi tular di media sosial.

Surat dihantar MIC itu antara lain menyebut, keanggotaan pemimpin MIC sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja PN tidak boleh dipakai sehingga satu keputusan baharu dibuat oleh Majlis Tertinggi MIC.

Umno akhir bulan lalu memutuskan akan terus memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan Pas dan parti komponen BN yang lain.

Sokongan Umno kepada kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan Ahli Parlimen Umno dan BN di Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di peringkat negeri.

Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah gabungan kerjasama antara Bersatu, BN, Pas dan beberapa bekas ahli PKR yang membentuk Perikatan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).