MIC tidak tentang kerjasama Umno-PAS, kata S.Subramaniam

MIC tidak akan menentang kerjasama antara Umno dan PAS di dalam pilihan raya umum akan datang demikian pendirian Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam.

“Kerjasama antara UMNO dan PAS tidak akan menjejaskan hubungan di kalangan parti komponen BN pada masa ini kerana kita mempunyai dasar tersendiri,” katanya ringkas kepada media di luar Kuil Yuen Leong, Kepong Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini beberapa parti komponen Barisan Nasional (BN) turut mengulas mengenai kerjasama Umno-PAS  antaranya  Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya juga tiada masalah dengan kerjasama ini.

Namun tegas Tiong Lai ia perlu dibawa ke mesyuarat bersama semua parti komponen bagi membincangkan pendirian PAS yang ingin melaksanakan hukum hudud.

Ini kerana sejak awal lagi MCA menolak pelaksanaan hukum hudud. Dalam pada itu MCA juga mengambil tindakan ‘berhati-hati’ melalui pemantauan terhadap kerjasama tersebut.

Turut dilaporkan semalam Naib Presiden United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO), Datuk Dr Makin @ Marcus Majigoh, penyatuan dua parti ini haruslah menepati dasar-dasar sedia ada yang ada di dalam BN.

Beliau berpandangan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah cukup bijak dan baik untuk menilai kerjasama politik ini untuk memenuhi dasar-dasar BN.

“Kita ada peraturan-peraturan yang kita harus patuhi, dan komponen lain juga seharusnya bersetuju. Bila Hadi kata dia nak bekerjasama dengan kita, kami alu-alukan namun ianya tertakluk kepada peraturan yang diamalkan selama ini.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS), Wilson Ugak Kumbong yang mana gabungan di antara Umno dan Pas adalah satu perkara yang dialu-alukan.
Jelasnya, ianya tidak dilihat sebagai satu masalah jika gabungan itu dibentuk untuk kebaikan rakyat.

“Tetapi di Sarawak, kami ada berbilang agama, jika ia dilakukan untuk kebaikan, tidak ada salahnya. Gabungan harus dijalankan secara baik, tidak mementingkan untuk satu agama sahaja,” katanya sebagaimana dipetik dari portal media.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Majlis Multaqa Serantau Alumni Al Azhar Malaysia 2015, sekali lagi mengajak PAS untuk bergabung bersama Umno, beliau mengambil sepotong ayat Al Quran sebagai rujukan untuk mewujudkan usaha ke arah penyatuan dua parti politik berkenaan.Perkara sama juga pernah disuarakan Najib semasa Persidangan Agung UMNO (PAU 2015) lalu.

PAS kini ‘bergerak’ sendirian selepas kerjasama di dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP menemui jalan buntu.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP ketika ini menjalinkan kerjasama dengan sepihan PAS, iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) menerusi Pakatan Harapan.

Bagaimanapun minggu lalu,  Pengerusi DAP Perak, Ngar Kor Ming pula berkata, kerjasama itu bukan sahaja tidak memberi manfaat kepada Pas malah ia merupakan strategi Umno untuk melemahkan kekuasaan parti berkenaan.

“Jika Pas berdegil dan ingin bersama Umno, saya yakin lebih ramai ahli dan pemimpin Pas yang berprinsip akan meninggalkan parti itu dan menyertai Pakatan Harapan.

“Kesediaan untuk bekerjasama secara terbuka yang diungkapkan Presiden Umno, Najib cuma retorik dan bertujuan untuk mengukuhkan cengkaman Umno,” katanya.

Terdahulu dalam satu wawancara yang disiarkan Mingguan Malaysia Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi optimis kerjasama parti UMNO dengan PAS akan menjadi kenyataan meskipun terdapat sebilangan suara daripada PAS yang tidak menyokong kepada kerjasama tersebut.

Bagaimanapun Zahid, percaya sebilangan daripada anggota PAS akan akur dengan tujuan kerjasama PAS dengan UMNO setelah perbincangan PAS di peringkat syura dilakukan nanti.

TAGS