Michael Cheah mohon ampun kepada Agong

Michael Cheah mohon ampun kepada Agong

Pengguna Facebook yang menggunakan nama ‘Michael Cheah’ memohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ekoran memuat naik komen yang menghina Seri Paduka.

Dalam sidang akhbar di sebuah hotel di Kuantan hari ini, peniaga langsir, Cheah Kim Hung, 46, berkata, dia mengaku kesilapannya memuat naik komen itu yang berbunyi ‘Muka mcm end of the world’.

“Saya memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong atas kesilapan saya.

“Niat asal saya bergurau dengan salah seorang pelayar Facebook, Zinedine Zaid di halaman Facebook I Love Pahang yang sebenarnya merujuk kepada gambar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu yang kelihatan tidak senyum,” jelasnya.

Kim Hung berkata, bagaimanapun komennya itu disalah ertikan oleh warganet yang merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong sehingga dia ditahan polis pada Jumaat dan Sabtu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuantan dan Temerloh.

“Selepas 10 minit komen itu dibuat saya telah memadamnya kerana ramai pelayar Facebook yang marah kepada saya,” ujarnya lagi.