Masjid negara diselebungi dengan suasana suram hari ini apabila orang ramai hadir untuk memberi penghormatan terakhir buat bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia pada petang Isnin.
Selain ahli keluarga, ahli politik dan kenalan rapat, bintang Hollywood kelahiran Malaysia iaitu Tan Sri Michelle Yeoh turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah.
Yeoh yang juga merupakan pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 itu dilihat tiba sekitar pukul 11.40 pagi di Dewan Solat Utama di Masjid Negara.
Kelibat pelakon serba boleh yang berasal dari Ipoh, Perak itu kemudian memasuki ruang penghormatan terakhir di masjid tersebut dengan memakai selendang dan berbaju hitam bersama kaca mata warna sama.

Pemimpin-pemimpin negara, diplomat asing, rakan serta orang awam juga dibenarkan masuk secara berperingkat ke ruangan tersebut untuk memberikan penghormatan kepada pemimpin yang lebih mesra disapa Pak Lah itu.
Antara yang hadir adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan bekas Ketua Pengarah Kesihatan iaitu Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong turut hadir di dalam istiadat penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham yang berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari itu, lapor Astro Awani.
Difahamkan, jenazah Allahyarham kemudian akan dikebumikan dengan Istiadat Pengebumian Negara sebaik selesai solat Zohor hari ini di Makam Pahlawan, Masjid Negara.
Terdahulu, tokoh negarawan berjiwa rakyat itu dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhirnya di usia 85 tahun pada jam 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Pihak IJN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Abdullah dimasukkan ke hospital selepas mengalami kesukaran bernafas pada pagi Ahad lalu.
Baca juga: Tun Abdullah Badawi meninggal dunia