Malaysia Dateline

Micron Technology umum pelaburan RM1.5bilion

Syarikat Amerika Syarikat, Micron Technology Incorporated, akan menyuntik RM1.5 billion di Malaysia dalam masa lima tahun untuk membina pusat kecemerlangan bagi pemasangan dan pengujian pemacu canggih.

Ini adalah peningkatan dalam pelaburan syarikat berkenaan selepas operasinya di Muar, Johor, yang menghasilkan litar bersepadu memori canggih sejak 2010, bernilai RM907.5 juta dan menggaji 1,028 pekerja (89 peratus rakyat Malaysia).

Naib Presiden Kanan Operasi Pengurusan Micron Technology, Gursharan Singh, berkata projek terbaharu itu, termasuk menghasilkan penstoran canggih 3D dan pakej memori, akan meningkatkan profil syarikat sebagai lokasi pilihan untuk penstoran generasi akan datang dan produk memori.

“Kami sedang berkembang di peringkat global dan Malaysia adalah pelaburan terbaharu kami dan menjangka akan memulakan pembinaan pada setengah tahun pertama 2019 dengan operasi penuh dalam tempoh dua tahun,” katanya pada sidang media berhubung pelan pengembangan syarikat berkenaan di sini, hari ini. Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

Gursharan berkata, syarikat berkenaan memilih Pulau Pinang sebagai lokasi pusat berkenaan dan akan menggaji 1,000 pekerja.

Beliau menyatakan bahawa pengembangan Micron Technology di Malaysia menyokong strategi syarikat berkenaan untuk membina model kapasiti global yang berskala, tangkas dan mantap.

“Lokasi kemudahan itu di Pulau Pinang bagi pengeluaran SSD akan meningkatkan pusat kecemerlangan NAND kami di Asia Tenggara, yang dibina dengan kehadiran kami di Malaysia dan Singapura, bagi memastikan fokus berterusan dalam memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan selain menarik serta mengekalkan bakat terbaik,” tambahnya.

Sementara itu, Darell berkata, kemudahan Micron Technology di Pulau Pinang akan mengukuhkan ekosistem elektrik dan elektronik tempatan memandangkan ia akan bersepadu dengan automasi pengeluaran SSD dan proses pengeluaran Industri 4.0 terbaik di dalam kelasnya.

“Micron Technology akan menjalankan kegiatan penyelidikan dan pembangunan serta pelan untuk berkerjasama dengan sekurang-kurangnya tiga hingga lima universiti tempatan.

“Ini akan menyumbang dalam meningkatkan kemahiran bakat di Malaysia dengan menerapkan kemahiran industri teknologi baharu dan pengetahuan profesional,” katanya.

Darell berkata, syarikat tempatan juga boleh meneroka peluang untuk bekerjasama dengan Micron Technology dalam bidang robotik, automasi, data raya dan kecerdasan buatan.

— BERNAMA