MIHAS 2019 jangka pertumbuhan jualan sederhana

MIHAS 2019 jangka pertumbuhan jualan sederhana

Pemeran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019 dijangka mencatatkan pertumbuhan jualan sederhana antara dua dan tiga peratus daripada RM1.5 bilion dicatatkan tahun lepas berikutan persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata perang perdagangan ketika ini antara Amerika Syarikat dan China telah menjejaskan ekonomi global.

“Kami berharap isu ini akan diselesaikan dengan baik untuk menyokong pertumbuhan ekonomi global dan seterusnya meningkatkan permintaan global terhadap produk dan perkhidmatan, termasuk mereka dari Malaysia,” katanya kepada pemberita di luar acara majlis prapelancaran MIHAS 2019 di sini pada Rabu malam.

Wan Latiff yakin sasaran pertumbuhan jualan boleh dicapai kerana terdapat lebih  200 pembeli antarabangsa berbanding 150 pada acara tahun lepas.

Dikenali sebagai pameran perdagangan halal terbesar di dunia, MIHAS 2019 akan diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia di sini dari 3-6 April.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya, Wan Latiff berkata acara itu turut mengetengahkan dua sesi pemadanan perniagaan – Program Penyumberan Antarabangsa  (INSP) dan program MIHAS Hosted Buyer.

“INSP akan diadakan di Menara MATRADE pada 2  April membabitkan kira-kira  200 pembeli terpilih daripada 50 negara yang bersedia untuk menyertai aktiviti pemadanan perniagaan dengan lebih 450 syarikat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata INSP telah berjaya menjana lebih RM600 juta jualan untuk syarikat tempatan pada tahun lepas.

MIHAS 2019 juga akan mengetengahkan siri program tambah nilai membabitkan enam persidangan dan lebih 30 seminar.

“Sektor fokus yang akan ditonjolkan pada MIHAS 2019 adalah makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, kewangan, digital, logistik, pelancongan mesra Muslim dan kemasukan baharu —  fesyen sopan,” katanya.

Acara itu dijangka menarik kira-kira 1,000 pempamer dan 30,000 pengunjung perdagangan.

Edisi ke-16 acara itu akan dihoskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan dianjurkan MATRADE.

— BERNAMA