Mike pernah dihalang masuk surau, tidak putus asa dalami Islam

Mike pernah dihalang masuk surau, tidak putus asa dalami Islam

Menceritakan kembali detik pahit mengenali Islam, Tan Mike Foong, 23, pernah dihalang dari memasuki masjid dan surau di sekolah biarpun waktu itu sekadar ingin melihat-lihat kedalam surau.

Mike berkata, perkara itu antara yang dikesalkannya kerana terlepas peluang yang dianggap sebagai berharga sehingga wujud anggapan tidak baik terhadap Islam.

Namun, pelawaan ‘boleh masuk, apa salahnya’ mengubah persepsinya sehingga menyuntik satu semangat untuk mengenali Islam lebih dekat.

“Masa di sekolah rendah, saya terdetik untuk masuk masjid tapi dihalang oleh cikgu sebab mereka kata saya bukan muslim. Sampai sekarang apabila teringat, memang agak marah tapi tak boleh salahkan guru saya juga.

“Disebabkan itu saya pernah ada anggapan tidak baik tentang Islam. Tapi masa saya belajar di bawah Persatuan Orang Buta Malaysia di Brickfield, saya sendiri dipelawa oleh guru untuk masuk ke surau.

“Saya hanya berdiri diluar sebelum bertanya dengan guru jika saya boleh masuk ke dalam surau. Pelawaan ‘Boleh, apa salahnya’ betul-betul buat saya terkejut dan tak tunggu lama, saya terus masuk,” katanya ketika ditemubual Malaysia Dateline.

Hanipa Maidin (baju merah) dan isteri ketika bertemu Mike dan ibu bapanya dirumah keluarga tersebut  di Kuala Kubu Baharu hari ini.

Bercerita tentang penghijrahannya, Mike yang pernah beragama Buddha berkata, dia sendiri tidak pernah terfikir untuk menukar pegangannya kepada agama Islam.

Bagaimanapun katanya, sejak di bangku sekolah lagi, dia sudah terbiasa mendengar azan di televisyen sehinggakan lebih tertarik untuk mengalunkan azan biarpun tidak tahu maknanya.

Sementara itu, Ibunya, Ang Bee Cheng menceritakan kali pertama dia mengetahui anaknya memasuki Islam tanpa pengetahuannya.

“Lepas satu tahun baru saya tahu anak saya masuk Islam. Ketika itu saya sangat marah. Tapi nak buat macam mana, sudah jadi begitu. Dia pilih Islam. Dulu marah, sekarang saya dah ok, tak ada marah-marah. Dia pun sudah besar, tak boleh halang,” katanya.

Dalam pada itu, Mike yang memeluk Islam sejak 2015 berkata, dia sangat berterima kasih dan terharu dengan pengorbanan ibunya.

“Tak apa ibu marah saya. Kalau kamu sayang anak, kamu sudah jaga, tiba-tiba anak kamu murtad, memang sebagai ibu akan rasa marah,” katanya.

Mike kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Tahfiz al-Quran dan Kiraat di pusat tahfiz sama serta perlu menghafaz semua 30 juzuk al-Quran dalam tempoh tiga tahun.

Lebih menarik, beliau yang juga seorang Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, tidak menjadikan kecacatannya itu sebagai penghalang untuk beliau bergelar Huffaz suatu hari nanti.

Bekas pelajar pendidikan khas Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kubu Bharu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak, Kuala Lumpur, itu berkata beliau mula memeluk Islam pada 2015 tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Mike tertarik dengan agama Islam apabila sering terdengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran dari masjid di belakang sekolahnya setiap kali masuk waktu solat.

Tonton video: Di sini