Militan asal Malaysia, Dr Mahmud Ahmad dilapor mati bertempur di Marawy City

Dr Mahmud Ahmad

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mendapatkan maklumat lengkap daripada pihak keselamatan Filipina susulan laporan kematian militan kelahiran Malaysia, Mahmud Ahmad dalam pertempuran dengan tentera di Marawi City, tengah malam tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan laporan tersebut sebelum mendapat maklumat terperinci identiti sebenar militan yang terbunuh itu.

“Kita (PDRM) akan berhubung dengan pihak keselamatan Filipina untuk mendapatkan maklumat lengkap tentang laporan kematian Mahmud Ahmad di Marawi sebelum sebarang pengesahan dapat dibuat, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Agensi berita antarabangsa melaporkan, menurut tentera Filipina, Mahmud berkemungkinan besar terbunuh dalam pertempuran tengah malam tadi, yang turut mengorbankan 13 pemberontak.

Menurut laporan itu, bekas pensyarah universiti itu dipercayai berperanan penting dalam membiayai gerakan militan di Marawi yang dikepung sejak hampir lima bulan lalu.