Militan: Kerajaan perketat kawalan di setiap pintu masuk negara

Militan: Kerajaan perketat kawalan di setiap pintu masuk negara

Kawalan keselamatan di semua pintu masuk di seluruh negara termasuk laluan tikus akan dipertingkatkan bagi memastikan anggota pengganas yang kini diburu pihak berkuasa di negara jiran tidak menyusup masuk ke negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan itu susulan berlakunya beberapa siri serangan keganasan melibatkan anggota militan di Marawi, Mindanao, Filipina, Jakarta dan Bangkok baru-baru ini.

“Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau perkara ini dengan dekat kerana memang ada kemungkinan mereka yang terlepas lari dari Marawi atau dari Jakarta dan Bangkok akan ke Malaysia kerana kini sedang diburu pihak berkuasa di negara terlibat

“Kita akan pastikan pintu-pintu masuk akan mempunyai siap-siaga yang tinggi termasuk lorong-lorong tikus serta kawalan sempadan Semenanjung Malaysia ditingkatkan dengan bantuan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Mariti Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan ESSCOMM untuk kawalan di Timur Sabah,” katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri dalam Negeri, berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Timbalan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) peringkat Terengganu di Masjid Tok Jembal semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beberapa insiden keganasana melibatkan anggota militan termasuk rakyat Malaysia berlaku di beberapa negara Asia Tenggara termasuk di Maraw di Mindanao.

Serangan oleh tentera Filipina itu dikatakan bermula selepas Dr Mahmud Ahmad, yang juga bekas pensyarah Universiti Malaya UM) memimpin sekumpulan 90 orang anggota militant masuk ke kawasan itu baru-baru ini.

Mengulas mengenai pembabitan rakyat Malaysia dalam aktiviti keganasan Daesh, Khalid berkata PDRM kini telah mengenal pasti orang yang disyaki terlibat dalam kegiatan itu.

“Kita sentiasa mengemaskini pihak yang terlibat. Apabila keadaan memerlukan kita akan melakukan tangkapan,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)