Militan Malaysia bantu wujudkan wilayah ISIS di Selatan Filipina

Militan Malaysia bantu wujudkan wilayah ISIS di Selatan Filipina

Pemberontakan yang tercetus di Marawi selatan Filipina tidak lagi dilancarkan hanya oleh kumpulan pemberontak warga Filipina, melainkan membabitkan pengganas asing yang bersama-sama berhasrat menubuhkan wilayah ISIS di Mindanao.

“Mereka ingin menjadikan Mindanao sebahagian daripada kekhalifahan,” kata Jose Calida dari Biro Keadilan di Kementerian Kehakiman Filipina seperti dipetik media di Manila.

Pertempuran sengit sekali-sekala berlaku antara tentera Filipina dan puak pengganas di bandar 200,000 jiwa ini dengan sebahagian penduduk Islam yang mennjalani ibadat puasa masih terkepung di rumah dan bangunan di bandar itu.

“Saya kasihan dengan orang awam dan kaum wanita yang berada di kawasan yang menjadi sasaran. Mereka terperangkap dalam kawasan konflik, dan saya harap pertempuran ini berakhir segera,” kata seorang ketua tentera seperti dipetik media.

Anggota pengganas yang setia kepada ketua mereka, Isnilon Hapilon yang disifatkan sebagai pengganas paling dikehendaki oleh Washington dikatakan bersembunyi di Malawi.

Mereka yang setia kepadanya menawan bandar ini, dengan membakar bangunan, gereja, rumah dan sekolah.

Sekurang-kurangnya 44 orang terkorban setakat ini, termasuk 31 anggota militan dan 11 tentera kerajaan.

Selain berazam menubuhkan wilayah ISIS di Mindanao, ISIS dan kelompok militan tempatan yang setia kepada ISIS menyasar serangan terhadap pemerintah dan mereka yang dianggap kafir seperti masyarakat Kristian dan Muslim yang tidak sehaluan dengan ISIS.

Sejak Presiden Rodrigo Duterte mengumumkan operasi ketenteraan di Mindanao, Isnin lalu, tentera Filipina bertembung dengan militan asing di Mindanao, termasuk dari Indonesia, Malaysia, dan Singapura.

Duterte pada Selasa mengisytiharkan darurat selama 60 hari di selatan Filipina, mencetuskan kebimbangan baharu dalam kalangan rakyat, dan mengingatkan mereka terhadap darurat zaman pemerintahan Marcos pada dekad 70-an.

Enam militan ISIS warga Indonesia dan Malaysia terkorban di Marawi dalam pertempuran pada Khamis lalu.

COMMENTS

Wordpress (0)