Malaysia Dateline

Mimpi jumpa Nabi: Percaya al-Quran atau ‘Tok Guru Melayu’?

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Ustaz Ridzwan Abu Bakar mengingatkan bahawa Nabi Muhammad yang diangkat menjadi nabi ketika berusia 40 tahun merupakan penutup para nabi yang diutus oleh Allah.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan penceramah Mohamad Wadi Annuar Ayub kononnya dapat melihat wajah nabi yang masih hidup pada masa ini.

“Al-Quran kata Muhammad adalah penutup segala Nabi (khataman nabiyin), tapi ada guru Melayu yang dakwa dia pernah mimpi berjumpa dengan Nabi di kalangan Melayu dan masih hidup pada masa ini.

“Anda nak percaya kat sapa? Al-Quran atau Tok Guru Melayu?” soal Ustaz Ridzwan dalam hantaran di Facebook sambil berkongsikan sedutan ceramah Wadi.

Terdahulu, tular dakwaan Wadi kononnya dia dapat berjumpa dengan salah satu daripada 124,000 nabi selepas memohon kepada Allah.

Walau bagaimanapun, Wadi enggan memberitahu nama individu terbabit yang digelarnya ‘ulama’ itu.

“Allah tunjuk, ada satu muka tu ada di Malaysia. Ulama.

“Tapi tak boleh beritahu siapa dia. Saya cuma tengok. Masih hidup lagi orang tu,” dakwa Wadi lagi.

Untuk rekod, Wadi, 39, yang berkelulusan syariah dan bahasa Arab dari Institut Fatah Islami, Damsyik kini mempunyai seramai 652,000 pengikut di Instagram.