Minda kelas ketiga dalam bantahan tulisan jawi

Persoalan berkaitan dengan tulisan Jawi, sepatutnya bukan (tidak perlu) menjadi isu yang seharusnya digembar-gemburkan, ia adalah berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Seharusnya dilihat dalam konteks pendidikan, sebagai usaha untuk mempertingkatkan kemahiran serta penguasaan merentasi bidang dan disiplin ilmu.

Hakikatnya, pembelajaran tulisan Jawi tidak mempunyai apa-apa nilai kesignifikanan dalam konteks mencetuskan perubahan terhadap pelaksanaan kurikulum, mahu pun ke atas perubahan persekitaran pendidikan, logiknya sebagai usaha untuk memperkukuhkan proses pembelajaran bahasa Melayu dengan aksara alternatif. Ini tentunya menjadi sesuatu yang bermakna dalam konteks mempertingkatkan kefahaman pelajar terhadap sejarah bahasa Melayu.

Pengajaran dan pembelajaran adalah berkaitan dengan kemahiran yang dipindahkan, iaitu merupakan satu proses yang bersifat “universal.” Asas persoalan, “semua perkara boleh dipelajari dan harus dipelajari,” dan “setiap apa yang dipelajari mempunyai kadar faedah dalam penerokaan pengetahuan serta mempunyai nilai guna.”

Pemikiran pendidikan seharusnya mempunyai impak ke arah pembentukan penerokaan yang berterusan, dalam membina perspektif merentasi budaya. Maka berhubung dengan tulisan Jawi, sewajarnya dilihat dalam konteks yang lebih berfokus kepada pembinaan budaya kemalaysiaan yang mrentasi sempadan kepentingan kaum, sebaliknya sepatutnya dilihat dalam rangkaian pembinaan pendidikan budaya, khususnya dalam realiti memperkukuhkan nilai-nilai estetik bahasa Melayu itu sendiri.

Dalam isu tulisan Jawi, kelihatannya lebih banyak didorong oleh sikap “ethnocentric” yang cuba menafikan hakikat perubahan dalam sistem pendidikan yang terdedah kepada keperluan faktor semasa, terutamanya dalam konteks pengukuhan jati diri bangsa Malaysia, berdasarkan keperluan dalam konteks pengukuhan nilai, intelektualiti dan penguasaan kemahiran serta selaras dengan kehendak sebagaimana yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996, juga menjadi aspirasi kepada usaha untuk membina tradisi identiti kebahasaan selaras dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Memahami konteks kebahasaan, khususnya bahasa Melayu yang mempunyai nilai kesajarahan dokumentasi manuskrip yang begitu kuat, tertulis segala manuskrip yang memperihal akan pembentukan negara bangsa Malaysia, semuanya dirakamkan dalam tulisan Jawi.

Hampir kesemua daripada sejumlah 20,000 manuskrip Melayu yang tersimpan di perpustakaan Universiti Leiden di Belanda, ditulis menggunakan aksara Jawi. Ini bermakna tradisi bahasa Melayu dalam aspek sejarah terbina dalam realiti tulisan Jawi. Berkaitan dengan itu, apakah kewajarannya untuk menolak penggunaan dan pembelajaran tulisan Jawi yang hanya diperkenalkan untuk tiga muka surat.

Sewajarnya selepas merdeka melampaui 60 tahun, sudah sepatutnya pihak yang mengaku sebagai warga negara Malaysia membina komitmen memperkukuh tradisi negara bangsa Malaysia, membebaskan pemikiran yang berkiblatkan Beijing, juga sewajarnya membebaskan naluri keterikatan terhadap Hong Kong mahu pun Taiwan. Tentunya juga memalingkan dari New Delhi atau pun Madras, perlu menghala kepada Kuala Lumpur atau pun Putrajaya, kerana di sinilah tamadun negara bangsa Malaysia akan terpancar.

Dalam pertemuan secara tidak formal dengan beberapa individu yang mendakwa diri mereka sebagai mewakili ibu bapa pelajar daripada komuniti yang menolak penulisan Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) , terdapat tiga alasan yang diberikan,

Pertama; kebimbangan bahawa penggunaan tulisan Jawi akan diwajibkan dalam peperiksaan yang boleh menjejaskan pencapaian (kelulusan) pelajar dalam subjek Bahasa Melayu.

Kedua; kebanyakan guru yang mengajar bahasa Melayu tidak mempunyai kemahiran dalam tulisan Jawi, situasi ini akan menyebabkan ramai guru-guru dalam kalangan orang Melayu akan ditempatkan di SJKT untuk mengajar bahasa Melayu.

Ketiga; pengenalan tulisan Jawi tidak dirunding terlebih dahulu dengan ibu bapa pelajar SJKT.

Ternyata ketiga-tiga alasan ini, bukan merupakan alasan yang konkrit dan jitu, sebaliknya lebih menampakkan keterasingan fahaman dalam aspek pendidikan dan pembelajaran, khususnya berhubung dengan penerokaan ilmu serta perluasan perspektif, bahkan lebih memperlihatkan fenomena pemikiran terkepung dalam minda terbatas. Apa yang nyata, penentangan terhadap pengenalan tulisan Jawi lebih didorong oleh sikap tertutup terhadap realiti pemupukan nilai kemalaysiaan, sebaliknya lebih menonjol akan sikap keegoan etnik.

Nampaknya sistem pendidikan negara telah gagal membina bangsa berasaskan apa yang diresolusikan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971, kemudiannya dimaktubkan sebagai Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK), langsung tidak menampakkan impak ke atas generasi yang lahir sewaktu DKK dilancarkan 48 tahun yang lalu. Generasi yang lahir pasca DKK inilah yang menjadi kumpulan pendesak membantah pengenalan penulisan Jawi di sekolah-sekolah SJKT dan SJKC.

Nampaknya, generasi yang lahir sejajar dengan resolusi DKK inilah memperlihatkan minda terpisah dengan usaha pengukuhan dasar pendidikan negara ke arah pembinaan masyarakat yang berteraskan aspirasi kebangsaan serta pegangan yang kuat terhadap prinsip-prinsip rukun negara.

Alasan yang dikemukakan hakikatnya adalah lebih bersifat “unverified assumptions,” salah satu unsur dalam konteks pemikiran kelas ketiga, iaitu pemikiran yang bersifat reaktif dan tidak berkecenderungan tambah nilai. Sebagaimana dinyatakan bahawa kewujudan SJKT dan SJKC adalah tertakluk kepada Akta Pendidikan 1996, ini bermakna kewujudan kedua-dua sekolah ini, tertakluk kepada dasar-dasar pendidikan yang dirangka oleh pihak kerajaan yang berkuasa. Akta Pendidikan 1996, meletakkan kedua-dua jenis sekolah ini sebagai sebahagian daripada pendidikan kebangsaan, itulah hakikatnya.

*Kolumnis adalah Pensyarah di  Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris