Malaysia Dateline

Mindef hantar memorandum kepada MOF pertimbangkan peruntukan penerima PJM

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memaklumkan, pihaknya sudah menghantar memorandum kepada Kementerian Kewangan (MOF) supaya mempertimbangkan peruntukan untuk penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM).

Mohamad berkata, jasa dan pengorbanan penerima PJM terutamanya apabila mereka berhadapan zaman darurat dan juga Konfrontasi Indonesia –Malaysia, sememangnya dihargai.

“Saya sendiri memberi pingat-pingat tersebut sebagai mewakili Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kepada perajurit-perajurit berkenaan.

“Justeru, saya berharap Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) akan mempertimbangkan sesuatu peruntukan kepada mereka (penerima PJM) agar beban hidup mereka dapat diringankan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Padang Serai, M Karupaiya, di Dewan Rakyat, hari ini.

M Karupaiya (PH-Padang Serai) meminta penjelasan Mohamad (PH-Kota Raja) susulan terdapat banyak rungutan yang timbul daripada bekas perajurit mengenai elaun berkenaan.

Memetik laporan Bernama pada 4 Mei lalu, setakat ini, 6,781 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima PJM.

Pingat itu dianugerahkan kepada anggota ATM yang berkhidmat menentang komunis dari 1969 sehingga 1990 dan anggota pengaman dari luar negara yang berkhidmat di negara ini dari 1957 sehingga 1968.