“Minta derma berapa bilion lagi?” netizen selar Najib

“Minta derma berapa bilion lagi?” netizen selar Najib

Kenyataan Datuk Seri Najib Razak dalam status Facebook kira-kira pukul 3 petang semalam kononnya hubungan Malaysia dan Arab Saudi kini berada pada “tahap tertinggi” terus dihujani kritikan rakyat negara ini.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kenyataan Datuk Seri Najib Razak dalam status Facebook kira-kira pukul 3 petang semalam kononnya hubungan Malaysia dan Arab Saudi kini berada pada “tahap tertinggi” terus dihujani kritikan rakyat negara ini.

Tinjauan Malaysia Dateline mendapati, rata-rata netizen mengaitkan kenyataan terbaharu yang dimuat naik tersebut dengan ‘derma’ RM2.6 bilion yang pernah diterima Presiden Umno itu.

Sindiran yang dilihat mewakili suara isi hati netizen seperti tercatat pada ruangan komentar di akaun media sosial Najib itu antaranya seperti, “Mintak derma lagi ke?” oleh Rizal As dan Muhammad Dinie Fahmi yang mengundang tanda ‘suka’ oleh ramai netizen lain.

Nada sama juga daripada Zikri Rancak, “Nak mintak berapa bilion pulak?” manakala Sheryn Seah menyoal, “Kali ini dapat berapa bilion donation?”

Diperhatikan ramai pengguna Facebook daripada kaum bukan Melayu turut membangkitkan soalan sama antaranya, Tommy Tan, Johnson Lch, Samuel Leong dan ramai lagi.

“Minta sedekah lagi ke?” tanya Daniel Yap diikuti Raymond Ong, “Minta donation banyak sikit ye.”

Tidak kurang juga membangkitkan kunjungan tiga hari Najib sejak 29 Februari lalu dengan tempoh berlangsungnya pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kurang dua tahun ini.

“Elections coming. Ask for other donation? Untuk maruah Umno?,” bidas Xiao Yus manakala ujar Afizan Rosman secara sinis, “Datuk tak nak nombor akaun saya ke?”

Jangan jual Malaysia

Derma diterima Najib sebelum ini yang didakwanya telah dipulangkan serta gesaan supaya Menteri Kewangan itu tidak menggadai kedaulatan negara juga disuarakan netizen yang prihatin.

Menurut Julia Khan, “kan dah pulangkan donation hari tu, ke nak mintak semula?” manakala Anuar Ibrahim berkata, “Hang (Najib) jangan jual Malaysia kat Arabian dah ar.”

Najib dalam kenyataan di Facebook itu memberitahu, “Menghadap dan beramah mesra semalam (2 Mac) bersama Baginda Raja Salman Abdulaziz Al Saud, Raja Arab Saudi dan Penjaga Dua Masjid Suci.”

Najib juga berkata dirinya mewakili Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menyampaikan jemputan kepada Raja Salman untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.

“Saya berasa terharu dan menerima baik pengiktirafan yang diberikan oleh Baginda Raja Salman dan Kerajaan Arab Saudi yang kini berada pada tahap tertinggi.

“Insya-Allah, hubungan kedua-dua negara akan terus diperkukuhkan,” tambah Najib lagi dipetik daripada kenyataannya di akaun rasmi beliau di Facebook itu yang menerima lebih 300 komentar selepas kira-kira sejam dimuat naik.

Sementara itu, Najib ketika menyampaikan ucaptama dalam majlis perasmian Forum Ekonomi Jeddah (JEF) semalam antara lain mendakwa Malaysia berjaya membangunkan negara dengan cara tersendiri iaitu melibatkan perkongsian dengan syarikat swasta.

TAGS