Malaysia Dateline

Minta hasil siasatan dari AS isu buruh paksa: Saravanan seperti mahu tutup kelemahan sendiri

Kenyataan Menteri Sumber Manusia yang meminta Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia untuk mendedahkan siasatan mereka berkenaan syarikat terlibat dalam buruh paksa, dianggap sebagai tak masuk akal dan percubaan lemah untuk menutup ketidakupayaan menteri itu dalam menangani kes buruh paksa dalam negara.

Pada semalam, Datuk Seri M. Saravanan memaklumkan bahawa mereka tidak dapat mengesan kesalahan pada mana-mana syarikat yang didakwa menggunakan buruh paksa. Justeru itu mereka berjumpa dengan pihak ILO dan Kedutaan AS supaya sebarang siasatan oleh pihak AS dimaklumkan kepada Malaysia.

Untuk rekod, beberapa produk Malaysia telah dikenakan sekatan eksport oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS atas alasan faktor buruh paksa, namun sehingga kini kementerian sumber manusia melaporkan tidak menerima sebarang siasatan daripada pihak AS.

Mengulas perkembangan terbaru itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kula Segaran berkata, Saravanan pasti tidak tahu bagaimana proses penyiasatan berlaku kerana jika siasatan didedahkan sebelum tindakan diambil, tiada fungsi penyiasatan tersebut dijalankan.

“Hakikatnya adalah jelas. Saravanan gagal memberi ikhtiar kepada industri itu untuk menangkap aktiviti buruh paksa atau perhambaan moden. Perlu ada pindaan yang jelas kepada Akta Pekerjaan yang merangkumi intipati Protokol ILO, supaya buruh paksa ditakrifkan dengan jelas dan undang-undang pekerjaan tempatan tertakluk kepada takrifan tersebut.

“Daripada hanya menunggu jalan pintas, Saravanan harus lebih proaktif untuk menggerakkan segala-galanya untuk membasmi kegiatan buruh paksa. Dia tidak boleh hanya menjadi penonton.

“Semasa Pakatan Harapan berada dalam kerajaan, kami mengisytiharkan perang dan toleransi sifar terhadap buruh paksa dan pemerdagangan manusia. Malangnya ia tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya selepas peristiwa Langkah Sheraton,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kula Segaran yang juga bekas menteri sumber manusia itu mencadangkan agar menteri menubuhkan satu pasukan petugas khas yang terdiri dari pelbagai parti dan semua pihak berkepentingan seperti majikan, NGO, dan kesatuan sekerja untuk mendapatkan input terbaik bagaimana untuk membasmi kegiatan haram buruh paksa ini.

“Apabila semakin banyak syarikat didapati bersalah terlibat dalam kegiatan buruh paksa, maka terdapat bukti bahawa sistem yang digunakan oleh menteri selama ini telah gagal.

“Menteri mesti memastikan sistem itu melatih pegawai penguatkuasa bagaimana mencari unsur-unsur buruh paksa.  Kerosakan dalam kementerian mesti dihapuskan,” katanya lagi.

Baca juga: PRU15: 20 Cawangan DAP tidak bersetuju jalin kerjasama dengan Bersatu, PN

Baca juga: Dipecat kerana serangan panik akibat kejutan hari jadi, lelaki dapat pampasan RM1.9 juta