Minta isteri jadi suri rumah tanpa gaji, lelaki diperintah bayar ganti rugi lebih RM1 juta

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang usahawan diperintahkan untuk membayar ganti rugi lebih RM 1 juta kerana telah ‘melantik’ isterinya menjadi suri rumah tanpa gaji selama 25 tahun.

Perintah tersebut dikeluarkan mahkamah berdasarkan taraf gaji minimum yang seharusnya dibayar oleh lelaki tersebut sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

Ahli perniagaan tersebut diarahkan pengadilan untuk menyerahkan wang berkenaan kepada bekas isterinya sebagai jalan penyelesaian kes penceraian pasangan itu.

Memetik laporan Metro UK, keputusan itu dibuat hakim Laura Ruiz Alaminos dalam satu pendakwaan di sebuah mahkamah di Velez-Malaga, di selatan Sepanyol.

Dalam prosiding berkenaan, pihak mahkamah mendapati ibu kepada dua anak itu ‘disuruh’ bekas suami untuk bertanggungjawab menjaga keseluruhan rumah mereka.

Bayangkan, ibu itu terpaksa mengorbankan masa selama 25 tahun untuk berkhidmat mengurus keluarga dan membuat kerja rumah tanpa menerima sebarang bayaran.

Tidak cukup dengan itu, wanita berkenaan juga diminta untuk bekerja ‘sekali-sekala’ di gimnasium milik suaminya sebagai penyelia dan pembantu perhubungan awam.

“Saya telah mendedikasikan diri saya secara eksklusif untuk membuat kerja-kerja rumah, menjaga suami dan keluarga.

“Dia memberikan saya tanggungjawab khusus dengan melakukan segala pekerjaan di rumah sampaikan saya langsung tidak mempunyai masa untuk buat benda lain,” kata suri rumah itu.

Lebih memburukkan keadaan, wanita yang dikenali sebagai Ivana itu tidak boleh membuat sebarang tuntutan selepas sah bercerai dengan bekas suaminya.

Hal ini kerana, penceraian Ivana telah tertakluk kepada perjanjian pemisahan aset yang menghalang wanita berkenaan untuk menuntut harta sepencarian.

“Jelas sekali ini adalah kes penganiayaan yang mengecualikan hak saya sepenuhnya daripada hal kewangan (oleh bekas suami saya) selepas perkahwinan berakhir.

“Saya dan anak-anak perempuannya tidak ditinggalkan apa-apa selepas bertahun-tahun mengorbankan masa, tenaga dan kasih sayang demi kebahagiaan keluarga.

“Selama ini saya membantunya dalam pekerjaan dan menguruskan rumah. Hasilnya, saya langsung tidak dibenarkan mengakses hal ehwal kewangan kerana semua aset atas namanya.” Kesal Ivana.

Difahamkan, selain ganti rugi sebanyak 204,624.86 euro (RM1,025,204.98), bekas suami Ivana juga perlu menanggung pencennya yang bernilai RM2,588.19 setiap bulan.

Manakala RM2,075.21 dan RM3,106.99 pula perlu dibayar usahawan berkenaan kepada dua anak mereka yang kini masing-masing berusia 20 dan 14 tahun.

Baca juga: Fairuz Misran meninggal dunia, tiada lagi ‘klon’ P. Ramlee