Minta lori 1 tan tapi yang sampai 5 tan, wanita bengang asyik suruh tambah harga padahal barang tak banyak

Oleh KIM SYAZIE

Seorang wanita meluahkan rasa geram apabila syarikat pemindahan barang menyediakan lori tidak sama dijanjikan ketika perbincangan.

Ketika perbincangan, wanita tersebut ditawarkan lori satu tan, dua pembantu pada harga RM250 sahaja.

Pengguna Facebook, Arissa Chua berkongsi pengalaman mengambil lori yang dijumpai dalam iklan Facebook (Abang Lorry) dengan harapan agar tiada orang lain yang menjadi mangsa mereka.

“Harga yang disebut berdasarkan jumlah yang menolong dan jarak pemindahan pada mulanya hanyalah RM250, jadi saya rasa murah untuk lori satu tan.

“Tapi apabila tiba hari kejadian, lori yang sampai adalah lori lima tan dengan alasan mereka ada kerja lain jadi nak sekali arunglah.

“Saya tak ada perabot sangat, yang ada cuma 9.5 kilogram mesin basuh, cermin setinggi 6 kaki, meja bar dengan dua bangku, satu tilam saiz king dan barang-barang kecil kecil yang dibungkus dalam kotak,” tulisnya pada hantaran tersebut.

Selepas itu, bermula drama kuantiti barang melebihi kapasiti lori satu tan, mereka mula memaksa untuk tambah harga menjadi RM500 untuk dua tan namun dikatakan masih tidak mencukupi.

“Macam mana saya tahu besar ruang untuk satu atau dua tan tu dah penuh sebab lori yang dibawa adalah lima tan, lepas tu bising cakap dah penuh.

“Saya cuba lapor dekat admin syarikat, tapi dia pun jenis berlagak dan kurang ajar.

“Akhir sekali terpaksalah turunkan semula semua barang dan mereka pun terus berlalu pergi,” tambah Arissa lagi.

Selepas itu, Arissa mula melihat ulasan Google mereka, rupanya ramai yang menerima nasib sama, malah ada yang habis sehingga RM1,000.

“Maksud saya jika anda tidak keberatan membayar wang sedemikian, maka teruskan. Tetapi bagi saya, saya tak akan pernah bersetuju,” katanya.

Seorang pengguna Facebook, Fatimah Abdul Samad turut berkongsi pengalaman sama, disebabkan dia sudah mengambil cuti untuk berpindah maka terpaksalah bayar lebih untuk upgrade.

“Kisah mengenai sewa lori ni memang pernah terkena juga, iklan dah murah dan kita juga tahu kuantiti barang untuk muat lori satu, tiga atau lima tan.

“Tapi bila tiba hari kejadian jadi benda lain pula, itu tak muat, ini tak muat. Kena upgrade dan tambah sewa lori, tapi disebabkan dah minta cuti maka terpaksalah bayar wang tambahan sebab kena pindah hari itu juga.

“Sekarang ini kalau nak pindah, saya akan sewa sendiri dan bawa kenderaan untuk pemindahan,” ujarnya di ruangan komen tersebut.

Baca juga: Cukuplah 9 tahun bergelar isteri, Puteri Sarah anggap sudah tiada rezeki bersama