Minta media berhenti guna tajuk ‘clickbait’, Bella Astillah mengaku dah lama ‘move on’

Oleh MAISARAH AISYA

Banyak portal media menggunakan tajuk yang gah untuk menarik perhatian orang awam bagi membaca artikel mereka walaupun sedar ia adalah lebih kepada ‘clickbait’.

Pelakon Bella Astillah mengharapkan portal media atas talian untuk tidak menjadikan isunya dan suami Aliff Aziz untuk meraih ‘view’ tinggi.

Terbaru Bella memilih mendiamkan diri sementara menunggu kes mahkamah selesai namun ada portal menyebarkan dakwaan konon dia sudah berbaik dengan suaminya.

Tarikh sebutan kes perceraian Aliff dan Bella dilaporkan sudah ditunda daripada 4 Jun ke 13 Jun ini.

“Tak bermakna bila saya tak nak jawab, sangkaan anda semua itu betul,” ujar Bella.

Menerusi perkongsian di Instagram Story, Bella memohon orang ramai dan portal berita untuk berhenti buat tanggapan sendiri.

“Saya minta tolong untuk berhenti buat tanggapan sendiri, dengar gosip-gosip dan akhirnya netizen yang tak tahu menahu yang hanya baca tajuk sahaja terus mengecam saya.

“Saya sudah lama ‘move on’ dan cuba hidup tenang,” tambahnya.

Tidak mahu memberi komen bukan bermakna sudah berbaik, Bella sendiri tidak menyangka jawapan diberi wakilnya boleh diputar belit.

“Saya sudah beberapa kali menolak untuk ditemubual sebab pada akhirnya akan terjadi berita sebegini.

“Jawab salah, tak jawab lagi lah dikata sombong. Bila wakil saya jawab, macam ni lah jadinya. Semua fakta dipusing.

“Saya hormat kerja media, tapi tolong hormat juga empunya badan,” katanya.

Baca juga: Pernah viral sampai hilang gelaran juara, Haneesya Hanee gigil masuk kelab untuk berlakon