Minta nasihat dari ustaz pun dah, Alif Satar akhirnya tampil bersuara kenapa buat persembahan dekat gereja

Oleh KIM SYAZIE

Jarang terpalit kontroversi, penyanyi Alif Satar mengejutkan ramai pihak selepas didakwa membuat persembahan di sebuah gereja di St John’s, Hyde Park, London pada 28 April lalu

Ia mulanya ditularkan seorang pengguna TikTok yang meluahkan rasa kecewa apabila menyifatkan Alif cakap tidak serupa bikin kerana mengadakan persembahan di rumah ibadat orang lain.

Pun begitu, Alif akhirnya tampil menjelaskan situasi sebenar, bahawa ia memang gereja lama namun kini ditukar menjadi dewan komuniti masyarakat setempat tanpa membabitkan keagamaan.

Kata penyanyi berusia 34 tahun itu, tempat tersebut bebas digunakan untuk semua masyarakat termasuk umat Islam di sana.

“Ia juga pernah dijadikan tempat solat sunat Aidilfitri. Tiada apa yang pelik pun.

“Tak dinafikan saya dan anggota The Locos mulanya ragu-ragu tetapi selepas dapat kepastian daripada penganjur yang juga rakyat Malaysia di sana, kami lega dan teruskan konsert itu,” katanya mengenai persembahan Alif Satar & The Locos itu.

Bercerita mengenai persembahan di London itu, Alif berkata, lokasi terbabit asalnya sebuah gereja Angelican lama dan tidak mempunyai apa-apa lambang keagamaan dan fungsinya kini sudah berubah.

“Rombongan saya sebenarnya turut disertai seorang ustaz dan saya minta nasihatnya sebelum ambil keputusan teruskan konsert,” katanya.

Baca juga: Rupanya sepupu kerabat diraja Perak yang menikah, Raja Azura iringi rombongan hantaran