Minta rasuah RM1.5 juta, setiausaha pejabat di Perbendaharaan direman

Minta rasuah RM1.5 juta, setiausaha pejabat di Perbendaharaan direman

 Seorang setiausaha pejabat kepada pegawai kanan Perbendaharaan  direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM1.5 juta.

Majistret Ahmad Afiq Hasan mengeluarkan perintah reman terhadap wanita itu sehingga 19 Feb ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini.

Wanita berusia 39 tahun itu dibawa ke mahkamah pada kira-kira 9.05 pagi tadi dengan berpakaian lokap SPRM berwarna jingga dan tangan bergari.

Menurut sumber SPRM, wanita itu ditahan di pejabatnya di sini pada kira-kira 6.56 petang semalam.

Wanita itu dipercayai meminta suapan sebanyak RM1.5 juta daripada wakil syarikat hartanah sebagai dorongan untuk meminta persetujuan ketuanya (Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan) bagi meluluskan tender penjualan hartanah milik kerajaan di Hong Kong pada penghujung tahun lepas.

Difahamkan suspek telah menerima sebahagian daripada wang terbabit.

Sumber SPRM itu tidak menolak kemungkinan ada individu lain akan dipanggil memberi keterangan berhubung kes tersebut.

Kes disiasat menurut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

— BERNAMA