Malaysia Dateline

Minta Twitter padam kritikan netizen Pengerusi, CEO SKMM wajar digugurkan

Majlis Presiden Pakatan Harapan menggesa agar Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digugurkan segera.

Ini berikutan, kegagalan Kerajaan Persekutuan menerima kritikan keras daripada media sosial di Facebook dan Twitter sehingga SKMM terpaksa meminta Twitter memadam kritikan netizen.

“Dalam era 5G yang bakal tiba, Kerajaan dan badan-badan seperti SKMM perlu faham bahawa demokrasi dan suara rakyat perlu dihormati dan dirai, dan tidak patut sekali-kali digugat atau diugut seperti yang berlaku sekarang,” kata Pakatan Harapan.

Dalam kenyataan bersama empat presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng dan Madius Tangau berkata, tindakan SKMM bersifat anti-demokratik dan mengingatkan mereka tentang sifat kuku besi diktator yang pernah rakyat Malaysia lihat dahulu.

“Kita tidak patut dan tidak boleh kembali ke zaman itu lagi, apatah lagi apabila negara sedang merangka masa depan yang berpaksikan digitalisasi dan teknologi maklumat yang lebih terbuka.

“Yang paling kami kesali adalah bagaimana SKMM diperalat pemerintah untuk menutup mulut rakyat, terutama apabila rakyat sedang tenat dan sengsara akibat banjir,” katanya.

Katanya, kerajaan dan SKMM khususnya perlu diingatkan bahawa rakyat berhak bersuara terutama dalam isu yang paling menekan, sama ada isu kos sara hidup, bencana, mahupun kepincangan kepimpinan di Putrajaya.

Sehubungan itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan menyampaikan ucapan takziah buat 41 orang mangsa bencana banjir di seluruh negara dan sangat kesal dengan kegagalan Kerajaan Persekutuan menangani krisis yang menyebabkan ramai yang tidak mendapat bantuan semasa dan pasca banjir.

Pakatan Harapan juga mendesak kerajaan untuk bertindak lebih tegas dengan pemberian bantuan kewangan yang mesti melebihi apa yang diberi Kerajaan-Kerajaan Negeri.

Banjir yang melanda 18 Disember lalu meninggalkan kesan yang amat mendalam buat warga Lembah Klang apatah lagi banyak nyawa yang terkorban akibat banjir dianggap sangat dahsyat.