Malaysia Dateline

Minum air suam, boleh nyahkan Covid-19, kata Menteri Kesihatan?

Dakwaan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bahawa meminum air suam boleh membuang virus dari kerongkong dan seterusnya dimusnahkan di dalam perut yang berasid kini menjadi persoalan orang ramai.

Ini kerana, menurut Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO), mempastikan badan sentiasa berair (hydrated) adalah baik untuk kesihatan.

“Namun ia tidak menghalang dari infeksi coronavirus,” kata WHO melalui soal jawab menerusi twitternya.

Menurut Dr Adham, meminum air suam boleh mengenyah virus dari kerongkong ke dalam perut.

“Minum air ye, air masak ye. Kalau boleh suam sikit, kerana virus tidak suka panas. Jangan panas sangatlah,” katanya sambil meminum air suam itu dalam siaran di berita RTM itu.

Katanya selepas minum air itu, “Virus ini akan dinyahkan, di singkir dan pergi ke perut. Dalam perut ada asid, dia kalah.

“Kita akan singkirkan virus tersebut dari kerongkong kita sebelum dia masuk ke paru-paru. Virus suka kepada bahagian bawah paru-paru,” kata Dr Adham yang mula dilantik sebagai Menteri Kesihatan apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin membentuk Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini.

Ekoran kenyataan Dr Adham itu, video itu disebarkan secara meluas sambil dipersoalkan apakah benar Covid-19 boleh dihalang dengan hanya meminum air suam.

Sebelum ini, tindakan Dr Adham mengajar orang ramai cara memakai topeng muka (face mask) telah dipermainkan oleh orang ramai.

Ini kerana, ketika beliau mengajar orang cara memakai topeng, cara dia memakai topeng terpaksa diperbetulkan oleh pembantunya kerana tidak mengikat topeng itu dengan betul.