Malaysia yang sudah merdeka sejak 65 tahun lalu dibina atas kontrak sosial melalui Perlembagaan Persekutuan yang diikat dengan budaya pelbagai kaum dan agama.
Kebudayaan yang diamalkan setiap kaum secara tradisionalnya perlu dikekalkan supaya fundamental kemajmukan negara ini terus utuh.
Mengamalkan budaya dan adat resam serta bahasa ibunda masing-masing adalah terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Minum arak adalah dibenarkan kepada orang bukan Islam. Bagi orang Islam pula, ia diharamkan dan merupakan satu kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah yang digubal di setiap negeri.
Namun begitu, bagi mengawal selia kehidupan rakyat supaya terhindar dari kecelakaan, undang-undang sivil seperti Akta Pengangkutan Jalan 1987 (seksyen 41-45) mengharamkan memandu ketika mabuk.
Ini bermakna, bagi orang bukan Islam, minum arak dalam negara ini bukan satu hak yang mutlak, ia masih dikawal oleh undang-undang. Undang-undang ini juga diterima baik oleh semua rakyat.
Mengekalkan keharmonian negara ini satu agenda yang amat penting. Keharmonian ini boleh dipertahankan dengan masing-masing mengekalkan budaya tradisional setiap kaum.
Maka, budaya asing terutama dari barat seperti oktoberfest tidak perlu diamalkan dalam negara ini. Orang bukan Islam boleh minum arak, tetapi bukan dalam aktiviti sepertimana satu festival di negara barat.
Saya tidak rasa budaya festival minum arak ini adalah budaya asal mana-mana bangsa dalam negara ini. Jika disemak fakta sejarah festival ini, ia bermula dari Bavaria, Jerman.
Pada pandangan saya, orang bukan Islam bebas dan berhak minum arak pada bila-bila masa, cuma untuk satu festival diadakan adalah sesuatu perkara yang tidak sesuai ‘unbecoming’ dibenarkan dalam negara ini.
Justeru, pihak berkuasa terutama Menteri Hal Ehwal Agama perlu mengeluarkan satu garis panduan atau tatacara berkenaan minum arak supaya tiada aktiviti seumpama festival minum arak atau Oktoberfest ini diadakan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat negara ini kerana majoriti besar umat Islam membantah.
Sensitiviti umat Islam harus dijaga sepertimana sensitiviti orang bukan Islam dihormati.
Cukup-cukuplah masyarakat dalam negara ini berbahas berkenaan perkara yang boleh membawa kepada sentimen. Peliharalah keharmonian negara ini dengan menjaga sensitiviti kaum-kaum dalam negara ini.
Baca juga Bagaimana nak semak status halal restoran? Wajib tahu, ini cara elak jamah makanan haram
Baca juga Lelaki kudung kaki kiri gigih cari rezeki, berhasrat beli mesin pembancuh tepung