Malaysia Dateline

Minum bir di pusat kuarantin biadab ketika barisan hadapan sibuk selamatkan rakyat

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sekumpulan individu yang meminum bir di sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Sabah.

Presidennya Adnan Mat berkata, tindakan itu tidak menghormati pengorbanan petugas barisan hadapan kerana secara jelas melakukan kesalahan di kawasan digunakan sebagai kemudahan kesihatan merawat pesakit Covid-19.

Menurutnya, perlakuan meminum bir itu juga boleh mengundang ketidakselesaan pesakit lain yang sedang dirawat dan mungkin boleh mencetuskan masalah lain jika keadaan menjadi tidak terkawal.

“Cuepacs mahu tindakan juga diambil kepada pihak terbabit yang membawa, membekal atau melepaskan minuman keras itu kepada pesakit.

“Tindakan individu itu biadab kerana seolah-olah sedang bergembira sedangkan petugas barisan hadapan sibuk mengerah keringat menyelamatkan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tegasnya, tindakan yang sewajarnya perlu diambil agar tiada lagi pihak lain berani bertindak seolah-olah petugas barisan hadapan kita sedang berseronok atau berhadapan dengan satu perkara yang remeh.

Semalam, tular video berdurasi 12 saat memaparkan tiga lelaki di sebuah PKRC sedang memegang tin bir sambil berbual dengan turut kelihatan dua bekas baldi berisi bir.

Adnan menegaskan tindakan tatatertib wajar dikenakan jika ada pembabitan pihak pengawal keselamatan atau petugas kesihatan sendiri dalam kejadian itu kerana ia mencemarkan integriti terutama membabitkan penjawat awam.

Beliau berpendapat hal tersebut tidak boleh dipandang remeh dan pihak berkuasa tidak perlu melindungi mereka yang bersalah.

“Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, sewajarnya mereka sentiasa berdisiplin dan mematuhi peraturan apatah lagi ketika sedang mendapatkan rawatan daripada petugas kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Christina Rundi ketika dipetik Bernama berkata, kes tersebut masih dalam siasatan dan menegaskan meminum arak tidak dibenarkan di semua PKRC.