Minyak berlebihan dalam masakan tambah risiko serangan jantung

Minyak berlebihan dalam masakan tambah risiko serangan jantung

Penggunaan minyak berlebihan daripada kuantiti yang sepatutnya dalam pelbagai masakan boleh meningkatkan risiko serangan penyakit jantung.

Ketua Pegawai Klinikal dan Pakar Perunding Kanan Kardiologi Institut Jantung Negara Datuk Dr Rosli Mohd Ali berkata memasak menggunakan minyak berlebihan tidak baik untuk kesihatan jika dijadikan amalan harian.

“Sudah menjadi tabiat rakyat Malaysia yang gemar memasak menggunakan banyak minyak dalam setiap hidangan terutamanya ketika musim perayaan,” katanya ketika ditemui Bernama.

Dr. Rosli berkata apabila seseorang itu kerap mengambil makanan bergoreng dan berminyak, ia menyebabkan lemak tepu berkumpul pada arteri dan boleh membawa kepada sakit jantung.

“Apabila lemak tepu ini dijadikan amalan pemakanan harian, ia akan menyebabkan ‘low density lipoproteins’ (ldl) kolesterol yang tinggi dan sepatutnya dihadkan kepada 10 peratus kalori harian kita sahaja.

Bagaimanapun, katanya masih ramai kurang sedar mengenai akibat daripada amalan pemakanan tersebut yang boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan.

“Dalam tubuh kita terdapat kandungan kolesterol ldl sebanyak 60 hingga 70 peratus di mana ia akan membawa kolesterol ke seluruh tubuh melalui jaringan arteri pada bila-bila masa namun jika kandungannya terlalu banyak akan menyumbat saluran pembuluh arteri kerana ldl dipengaruhi kadar lemak dalam tubuh dan kandungan kolesterol yang kita makan,”.

Beliau berkata sekiranya kandungan lemak tinggi, ia boleh mengganggu fungsi-fungsi penting tubuh menyebabkan kerintangan insulin, meningkatkan paras kolesterol dalam darah dan tekanan darah tinggi yang membawa kepada penyakit jantung.

Jelas Dr Rosli, setakat ini purata umur mereka yang mempunyai serangan jantung di Malaysia ialah 56 tahun berbanding 62 tahun di negara Barat.

“Kajian yang dibuat oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) pada 2010 juga mendapati kebanyakan rakyat Malaysia mengambil kalori sehari melebihi jumlah yang diperlukan iaitu 2,200 (lelaki) manakala 2,145 (wanita).

Ketua Pakar Pemakanan IJN, Mary Easaw berkata rakyat Malaysia boleh mengurangkan risiko serangan jantung dengan menukar kaedah masakan harian yang lebih sihat.

“Kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah berpunca daripada mereka yang sering mengambil makanan berlemak tepu. Justeru itu, bagi mengurangkannya, masyarakat mesti dididik dengan kaedah masakan yang sihat dan betul.

“Sebenarnya, agak sukar untuk berterus terang kepada seseorang (pesakit) supaya tidak makan makanan bergoreng kegemaran mereka seperti ayam goreng.

“Disebabkan itu, saya rasa pendekatan terbaik adalah menunjukkan kaedah masakan yang ringkas, mudah dan sihat tanpa harus menggunakan minyak sekaligus memupuk minat memasak makanan yang rendah lemak demi kesihatan jantung,” katanya.

Mary berkata antara cara masakan tersebut ialah seperti mengukus, membakar, menggantikan minyak masak kepada minyak sayuran atau bunga matahari, menggantikan susu lemak berkrim kepada susu rendah lemak ataupun menggantikan mayonis dengan yogurt rendah lemak dalam apa jua masakan.