Malaysia Dateline

Minyak botol mahal, paket untuk domestik jadi Makcik Goreng Pisang nak guna minyak apa?

Sudahlah minyak botol mahal, minyak paket pula untuk domestik jadi Makcik Goreng Pisang perlu guna minyak yang mana satu, soal seorang Chef.

Chef Amer melalui Facebooknya menzahirkan rasa risau terhadap peniaga-peniaga kecil seperti Makcik Goreng Pisang yang mencari sesuap nasi untuk menyara keluarga.

Hakikatnya, kata beliau untuk menghasilkan Pisang Goreng yang ranggup dan cantik keraknya memerlukan 20 kg minyak masak satu kuali.

Ini bermakna katanya ia memerlukan 4 botol minyak masak yang 5kg itu di mana Makcik Goreng Pisang harus mengeluarkan modal untuk minyak masak sebanyak RM168 (4 botol x RM42 = RM168).

Modal minyak masak botol sudah cecah RM168

Namun jelasnya, jumlah ini adalah untuk satu kuali, biasanya mereka menggunakan 2 kuali untuk menggoreng pisang kerana satu kuali lagi untuk mengoreng keropok lekor.

“Ini bermakna kos untuk minyak sahaja sudah menjadi RM336.

“Berat bersih pisang yang boleh digoreng hanya sekitar 55% sahaja setelah ditolak kulit dan tandan.

“Itu tidak termasuk lagi kos tepung gandum yang dulunya RM2.90 sekilo dan sekarang menjadi RM3.80,” katanya beliau.

Kos-kos yang dikeluarkan ini jelasnya belum ditambah lagi kertas pembungkus, beg plastik, sambal kicap atau sos cili jika ada.

Bahkan katanya soal gaji minima pekerja mengoreng pisang sekarang sekitar RM50 untuk 5 jam bekerja.

Justeru itu, beliau mempersoalkan berapa harga seketul Pisang Goreng yang menteri sarankan untuk dijual dengan menggunakan minyak berbotol.

“Ya…kita faham minyak paket tu untuk kegunaan consumer dan terhad pula.

“Walau pun ada sedikit kelonggaran untuk peniaga dan restoren gunakan minyak peket tetapi teramat susah untuk dapatkan stok. Sentiasa kehabisan,” kata beliau.

Jika ada pun katanya, ia dihadkan 2kg seorang sahaja dan jika sehari perlu guna 20 kg bermakna Makcik Goreng Pisang perlu 10 kali pergi membeli.

“Tetapi apa solusi untuk membantu peniaga-peniaga kecil seumpama ini? Nak guna minyak apa?

“Tolonggglah kami” rayu beliau.

Dalam sidang Parlimen semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, minyak paket yang bersubsidi adalah untuk kegunaan domestik, bukan komersial.

“Mereka tak boleh gunakan minyak masak untuk kegunaan jual pisang goreng itu salah, sebab minyak masak peket tidak boleh untuk komersial,” kata beliau.

Baca juga: Ismail Sabri dakwa kenyataan berkaitan Makcik Goreng Pisang diputar belit

Baca juga: Dilamar jejaka Arab Saudi, doktor terima mas kahwin RM300,000