Malaysia Dateline

Minyak diesel subsidi kepada persatuan nelayan di Sarawak

Persatuan-persatuan nelayan yang mempunyai permit meniaga minyak diesel secara runcit di Sarawak bakal menerima 6 juta liter subsidi mulai tahun 2020.

Bagaimanapun menurut Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Jamaludin Othman berkata,untuk mendapatkan subsidi berkenaan persatuan-persatuan terbabit hendaklah melalui Persatuan Nelayan Sarawak (PENESA).

Beliau menjelaskan,Kementerian Kewangan menerusi Pembentangan Belanjawan 2020 baru-baru ini telahpun memperuntukkan sebanyak 60 juta liter bekalan minyak diesel setiap bulan kepada 50,000 nelayan di seluruh negara.

“Daripada 60 juta liter minyak diesel yang diperuntukkan itu,6 juta liter bakal diagihkan kepada persatuan-persatuan nelayan yang mempunyai permit di Sarawak.

“Dan hanya persatuan yang mempunyai permit untuk meniaga runcit sahaja diagihkan minyak berkenaan iaitu melalui PENESA bermula tahun hadapan,” jelasnya.

Pada masa sama,Jamaludin memberitahu LKIM akan berbincang dengan Agro Bank bagi menyediakan dana serta pinjaman kepada golongan nelayan seperti pembinaan bot,pembeliaan enjin dan lain-lain terutamanya para nelayan pantai.

“Ini adalah inisiatif kita (LKIM) dalam membantu nelayan untuk menyediakan dana dan pinjaman bagi membantu mereka dalam urusan membina bot dan pembelian enjin serta peralatan lain.

“Dengan demikian,kita berharap pihak Agro Bank akan memberi kerjasama yang baik dalam membantu golongan nelayan pada masa akan datang,” tambah beliau.