Malaysia Dateline

Minyak masak 5 kg boleh dijual RM20 jika laksana dua peringkat harga

Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution mengingatkan Datuk Dr Khairuddin Aman Razali bahawa harga minyak masak sekarang berada pada tahap tidak munasabah.

Beliau yakin, harga minyak yang munasabah hanya boleh dinikmati rakyat kiranya kerajaan bersedia melaksanakan kaedah dua peringkat harga (2-tiered pricing).

“Sementara harga minyak sawit mentah terus meningkat (RM3844 pada 10 Jun 2021) dan menyaksikan ‘trend’ peningkatan berterusan, namun menimbangkan harga minyak sawit mentah untuk kegunaan domestic yang hanya 1 juta tan metrik pada harga lebih rendah masih boleh dilakukan.

“Hari ini kerajaan sememangnya berpandukan kaedah simulasi harga runcit minyak sawit bagi harga di atas “threshold” bagi menetapkan harga minyak masak bersubsidi.

“Berdasarkan kaedah ini semua komponen kos telah diambil kira. Komponen kos ini adalah sama untuk pengeluaran minyak masak tanpa subsidi.

“Ini termasuklah harga minyak sawit RBD Olein, kos pengilang, margin keuntungan pemborong, margin keuntungan peruncit dan kos pentadbiran,” katanya.

Dalam melaksanakan dua peringkat harga ini beliau mencadangkan kerajaan menimbangkan “range” harga domestic sekitar RM2500 hingga RM2700 per tan metrik.

Jelasnya, berdasarkan kaedah simulasi harga yang diguna pakai oleh KPNHEP ini jika kerajaan menetapkan harga minyak sawit mentah untuk kegunaan domestic pada RM2500 misalnya, harga minyak masak 5kg boleh dijual paling mahal di pasaran pada harga RM20 sebotol setelah mengambil semua kos yang terlibat.

Bagaimanapun beliau berkata formula menang-menang yang sedang diusahakan harus mengambil kira kepentingan semua pemegang taruh termasuklah syarikat perladangan kelapa sawit, pekebun kecil kelapa sawit, pengilang, peniaga dan pengguna.

“Pengguna yang terdiri rakyat terbanyak yakni 30 juta mesti diberi pemberat keutamaan yang lebih dalam usaha kerajaan merangka formula menang-menang.

“Pada masa yang sama penglibatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga amat penting sebagai autoriti yang bertanggungjawab dalam penentuan dan pengawalan harga melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan,” katanya.

Sementara itu katanya, untuk mengekalkan harga minyak masak bersubsidi pada harga sekarang yakni RM2.50 sebungkus bajet subsidi RM400 juta sudah pasti tidak mencukupi.

Sebagai langkah segera, tegas beliau kerajaan boleh menambah subsidi tetapi pada masa yang sama aspek penguatkuasaan penting untuk mengawal ketirisan dan penyeludupan.

“Ini membolehkan rakyat terbanyak dapat menikmati kelegaan hasil program subsidi kerajaan,” katanya.