Harga minyak yang naik hampir setiap minggu bukan sahaja memberi kesan kepada warga bandar yang perlu berkenderaan ke tempat kerja, malah turut menyukarkan hidup nelayan kecil di kampung pedalaman.
Nelayan sungai, Mohd Nazrin Abd Rahman dari Kampung Pulai Belayar, Grik, Perak perlu membelanjakan RM5 sehari untuk membeli petrol bagi menghantar lima anaknya secara bergilir-gilir ke sekolah.
“Pekerjaaan saya hanyalah menangkap ikan secara sambilan di Sungai Perak. Kadang-kadang ada ikan, ada kalanya hasil tangkapan tidak dapat menampung perbelajaan setiap hari.
“Lima orang anak saya masih bersekolah di sekolah rendah dan terpaksa dihantar ke sekolah dengan motosikal dua kali perjalanan,” jelasnya.
Beliau yang ditemui juga berkata, lebih menyedihkan kos petrol yang terpaksa dibelanjakan sebanyak RM5 sehari amat membebankan.
“Ini belum masuk lagi wang saku sekolah yang terpaksa saya berikan antara RM1 hingga RM2 setiap anak,” katanya.
Beliau juga sedih kerana kadang-kadang terpaksa berjimat menyimpan lauk sardin murah selama berhari-hari bagi mengalas perut enam orang anaknya.
Akibat kemiskinan, anak perempuan sulongnya di tingkatan satu terpaksa berhenti sekolah sejak Mei lalu.
“Kadang-kadang kami mencari ulam dan sayur yang ada di kampung untuk dijadikan makanan sekeluarga.
“Rumah tanpa bilik yang kami diami ini juga adalah hasil sumbangan Baitulmal sejak beberapa tahun lalu,” ujarnya.
Menurut Nazrin, beliau tidak berhasrat untuk memberhentikan persekolahan anak sulungnya, namun akibat tekanan hidup beliau terpaksa berbuat demikian.
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Grik, Ayob Abdul Rahman ketika mengunjungi Nazrin akan berusaha membantu keluarga daif terbabit.
“Sebelum ini Menteri Besar Perak menyangkal kajian yang dibuat Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) bahawa Perak berada di tangga kedua pendapatan isi rumah paling rendah di Malaysia.
“Dengan turun padang ke kediaman keluarga ini saya dapat melihat sendiri betapa daif dan susahnya kehidupan mereka tanpa sumber kewangan yang tetap setiap bulan,” ujar beliau.
KRI dalam laporan Ogos tahun lalu menyebut Perak adalah negeri kedua selepas Kelantan yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM2,000 sebulan selain 81.1 peratus isi rumahnya berpendapatan kurang RM6,000 sebulan.
