Malaysia Dateline

‘Minyak pelincir’ penyebab kos makanan, perkhidmatan melambung

Rasuah memberi kesan terhadap kos sara hidup kebanyakan pengguna di negara ini melalui kewujudan tekanan ke atas peningkatan harga makanan dan perkhidmatan, kata Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

“IDEAS mendapati kewujudan rasuah dalam rantaian bekalan Malaysia mempunyai kesan ekonomi yang ketara terhadap kebanyakan pengguna Malaysia.

“Kajian mendapati apabila pembekal barangan dan perkhidmatan terlibat dalam amalan rasuah, kos menjalankan perniagaan akan meningkat lalu kos tersebut akan ditanggung oleh pengguna akhir,” katanya dalam satu kenyataan.

Kajian IDEAS dengan kerjasama Gabungan untuk Integriti Perniagaan (CBI) juga mendapati wujud penjawat awam yang menyalahgunakan kedudukan dan budi bicara mereka ke atas orang awam.

Laporan kajian bertajuk “Corruption in the Supply Chain: Forms and Impact to Consumers” itu merumuskan rasuah juga sering berlaku sebagai tindak balas kepada birokrasi yang keterlaluan serta tidak diurus dengan baik.

Jelasnya, hal berkaitan “memudahkan urusan” ditafsirkan sebagai “minyak untuk melicin dan melancarkan urusan” pada setiap peringkat birokrasi yang ketat.

“Akhir sekali, rasuah juga berkembang kerana budaya, terutamanya apabila individu melihat perlakuan rasuah sebagai ‘tatacara operasi piawai’ (SOP) dalam menjalankan perniagaan di Malaysia,” katanya lagi.